Umno Selangor serah pada parti, PAS tentukan keputusan Muafakat Nasional


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata Umno Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu dan juga PAS, untuk membuat keputusan terbaik berhubung kerjasama Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

UMNO Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu dan juga PAS, untuk membuat keputusan terbaik berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata langkah itu dilihat sebagai tindakan terbaik, kerana kedua-dua pihak mempunyai jawatankuasa kepimpinan masing-masing.

“Umno Selangor kalau boleh MN hidup seperti dahulu, itu amat dialu-alukan, bagaimanapun kita serah kepada kepimpinan kedua-dua parti untuk buat keputusan.

“Setiap parti ada jawatankuasa mereka, jadi kalau Presiden kata ia (kerjasama MN) nyawa ikan bermakna masih hidup tetapi sama ada ia akan terus hidup atau sebaliknya, kita serah kepada kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (PS SKM 2021-2025), Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara dan Ramah Mesra Raya Gerakan Koperasi di Dewan Perdana Felda hari ini.

Noh diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, yang menegaskan MN jelas masih bernyawa dan tidak terkubur seperti dikata pelbagai pihak. 

Ia susulan kenyataan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut MN kini dalam fasa ‘nyawa-nyawa ikan’ baru-baru ini. – Bernama, 24 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen