Bekas anggota polis buru Botak Chin pegawai cemerlang


Noel Achariam

Bekas pegawai kanan polis Deputi Superintendan Kenneth James Woodworth meninggal dunia pada Ahad lepas akibat usia tua. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Mei, 2022.

BEKAS pegawai kanan polis Deputi Superintendan Kenneth James Woodworth yang meninggal dunia pada Ahad lepas akan dikenang sebagai rakan yang penyayang, guru yang tegas dan pegawai cemerlang, kata bekas rakannya dalam pasukan polis.

Woodworth yang berusia 89 tahun meninggal dunia di Petaling Jaya juga disifatkan sebagai wira kerana memburu penjenayah terkenal Botak Chin dan membunuh dua orang pengikutnya dalam kejadian berbalas tembakan pada 1976.

Bekas ketua polis negara Musa Hassan sangat mengingati Woodworth sebagai seorang pegawai yang tegas tetapi adil semasa mereka dalam pasukan itu.

“Saya mengenalinya ketika berada di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur. Beliau seorang yang mencegah jenayah kerana menyelesaikan banyak kes bersama DSP S.Kulasingam, seorang lagi bekas pegawai polis berstatus ‘wira’.

“Saya hanya bekerjasama dengannya untuk seketika memandangkan kami dari bahagian yang berbeza.

“Beliau sentiasa mesra dengan pegawai muda dan mengajar kami melakukan perkara yang betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengenai operasi untuk menangkap Botak Chin, Musa berkata bahagiannya tidak terlibat secara langsung tetapi dipanggil untuk menghulurkan bantuan.

“Selepas menembak, Woodworth sangat tenang. Beliau banyak menyumbang kepada negara menjaga keselamatan rakyat.

“Kita boleh katakan beliau adalah wira negara kerana beliau seorang yang sangat berani. Kita semua menghormatinya sebagai pegawai kanan,” katanya. 

Rakan keluarga Karen Goonting, 60, berkata Woodworth dilahirkan di Singapura tetapi dibesarkan di Pulau Pinang.

“Beliau menyertai pasukan itu pada 1953 dan berkahwin dengan Joan Sylvia Maureen pada 1955. Kami semua adalah rakan rapat keluarga. 

“Beliau adalah kawan baik ayah saya selepas mereka bertemu di Sabah. Saya mengenali ‘Uncle Ken’ sejak berusia enam tahun,” kata Goonting ketika ditemui di rumah pengebumian Holy Rosary Church di Brickfields. – 24 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen