Indonesia guna sistem elektronik pantau bayaran gaji amah, kata duta


Duta Besar Indonesia ke Malaysia berkata sistem 'e-wages' yang dibangunkan Kementerian Sumber Manusia itu diharap dapat menyelesaikan masalah majikan yang culas membayar gaji pembantu rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

INDONESIA akan menggunakan sistem penggajian elektronik bagi memantau majikan yang culas membayar gaji pembantu rumah asing, lapor Free Malaysia Today.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono dipetik portal itu berkata sistem “e-wages” yang dibangunkan Kementerian Sumber Manusia itu diharap dapat menyelesaikan masalah majikan yang tidak atau lewat membayar gaji.

“Jangan sampai ada orang yang tidak dibayar (selama) bertahun-tahun sebab (dulu) kami tak tahu (mereka tak dibayar gaji). Sekarang kami tahu. Kami boleh pantau (melalui e-wages).

“Boleh kamu bayang, ada orang (pekerja Indonesia) bekerja 12 tahun tak dibayar? Dengan adanya pemantauan dari e-wages, kita boleh lihat, oh ini (majikan) sudah bayar (gaji), ini (majikan) belum bayar (gaji),” katanya.

Sabtu lalu Hermono dilaporkan FMT berkata pembantu rumah warga Indonesia yang sedang bekerja di Malaysia layak menerima gaji minimum RM1,500 sebaik saja kontrak kerja mereka diperbaharui.

Pembantu rumah Indonesia pada masa ini menerima gaji antara RM900 dan RM1,200 sebulan.

Katanya, gaji minimum itu ditetapkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengambilan kerja dan perlindungan bagi pembantu rumah warga Indonesia, dan ia tidak terhad bagi kontrak baharu saja.

MoU ditandatangani pada 1 April lalu.

Memorandum itu menetapkan kos membawa masuk pembantu rumah sebanyak RM15,000 (akan disemak setiap tiga bulan), dan ia termasuk sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial dan gaji dimasukkan ke dalam akaun bank sebelum 7 hari bulan setiap bulan.

Tambahan 5% daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan dikenakan sebagai pampasan sekiranya majikan lewat membuat pembayaran. Pembantu rumah menamatkan kontrak dan layak mendapat pampasan jika majikan gagal membayar gaji selama dua bulan berturut-turut. – 24 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen