Umno akan guna pelbagai alasan gesa PRU awal, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Umno akan guna macam-macam alasan untuk gesa PRU diadakan, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

UMNO akan menggunakan pelbagai alasan, termasuk kos sara hidup yang tinggi, untuk menggesa pilihan raya umum (PRU) diawalkan, kata penganalisis politik.

Memandangkan ekonomi negara tidak akan baik dalam masa terdekat, maka bagus untuk menyeru PRU diadakan, kata mereka.

Bagaimanapun, penganalisis lain berkata jika Umno jadikan ekonomi sebagai alasan, ia mungkin akan makan diri kerana parti itu juga berada dalam kerajaan sekarang yang gagal urus ekonomi.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata Umno mahu menikmati momentum kemenangan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor. Oleh itu ia akan guna pelbagai alasan untuk mengadakan PRU awal.

“Umno akan guna macam-macam alasan untuk gesa PRU,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

“Mereka percaya jika PRU diadakan sekarang, mereka akan menang kerana momentum PRN Melaka, Sarawak dan Johor.”

Walaupun Umno mungkin terdesak, Chin berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga merupakan batu penghalang terbesar parti itu.

“Mereka akan guna apa-apa sahaja alasan, apa-apa sahaja tekanan untuk menggesa Ismail Sabri menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengadakan PRU.

“Ia boleh jadi apa-apa sahaja isu asalkan Najib Razak (bekas perdana menteri) dan Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno) dapat pilihan raya awal, antara sekarang ini dan Disember.”

Penganalisis berkata Umno mahu menikmati momentum kemenangan PRN Melaka, Sarawak dan Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

Tarikh PRU15 masih belum ditetapkan tetapi dijangka Julai 2023 apabila penggal Parlimen sekarang tamat. Bagaimanapun Ismail Sabri telah ditekan oleh partinya untuk bubarkan Parlimen bagi membuka jalan kepada PRU.

Umno juga telah meluluskan usul menangguhkan pemilihan parti itu enam bulan selepas PRU15.

Pilihan raya awal juga dilihat sebagai usaha untuk Najib dan Zahid melepaskan diri daripada perbicaraan rasuah, jika Barisan Nasional menjadi kerajaan persekutuan.

Ismail Sabri baru-baru ini berkata Umno bersedia untuk menghadapi PRU15, bagaimanapun tarikh bila ia akan diadakan ditentukan oleh kerajaan yang terdiri daripada BN, Bersatu dan PAS.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata memandangkan tiada prospek yang ekonomi Malaysia bertambah baik dalam masa terdekat, lebih baik Umno ambil kesempatan gesa PRU awal.

“Jika anda tunggu sehingga tahun depan atau bahkan tahun selepas itu, semua kos sara hidup dan inflasi ini akan jadi lebih teruk.

“(Mereka) juga mampu. Jika terdapat prospek untuk keadaan sosio ekonomi menjadi lebih baik, maka sudah tentu anda perlu adakan pilihan raya ketika itu.

“Tetapi ia tidak kelihatan realistik seperti itu. Jadi sebaiknya buat sekarang,” kata Oh. – 24 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen