PAS usah salahkan Umno isu bekalan air Kelantan, kata Husam


Diyana Ibrahim

Pengerusi Save Kelantan Husam Musa menangkis dakwaan PAS bahawa kerajaan persekutuan pimpinan Umno melanggar perjanjian sehingga menyebabkan perkhidmatan bekalan air Kelantan dirundung masalah.– Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

PAS perlu berhenti memberi alasan bahawa masalah air yang berlarutan sejak 30 tahun di Kelantan berlaku kerana politik dendam kerajaan persekutuan, kata pengerusi Save Kelantan Husam Musa.

Beliau menangkis dakwaan PAS bahawa kerajaan persekutuan pimpinan Umno melanggar perjanjian sehingga menyebabkan perkhidmatan bekalan air Kelantan dirundung masalah.

Malah, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri keempat waktu itu meluluskan geran bagi membayar hutang ditanggung kerajaan negeri akibat penswastaan bekalan air, jelasnya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pemimpin PAS sendiri terkait dalam meluluskan tuntutan tidak masuk akal syarikat terbabit.

Bekas naib presiden PAS itu merungkai rentetan peristiwa yang bermula apabila kerajaan negeri menswastakan sepenuhnya bekalan air kepada Kelantan Water Sdn Bhd.

Beliau pada masa sama mengakui usaha penswastaaan itu dibuat disebabkan tindakan kerajaan persekutuan membekukan bekalan air Kelantan.

“Memang bekalan air Kelantan telah dibekukan oleh kerajaan pusat pada 1990-an.

“Kerana itu kerajaan Kelantan swastakan air kepada Kelantan Waters yang di bawah syarikat asing di London iaitu Thames Water PLC,” katanya.

PAS perlu berhenti memberi alasan bahawa masalah air yang berlarutan sejak 30 tahun di Kelantan, kata Husam Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

Susulan penswastaan kepada syarikat tersebut pada 1995, timbul tuntutan sebanyak RM100 juta setahun dari Kelantan Water, kata bekas exco kanan itu.

“Kemudian berlaku masalah dengan syarikat di London itu apabila fahaman sesetengah pemimpin syarikat itu akan membelanjakan wang mereka sendiri dan bina semua infrastruktur air.

“Tapi ramai tidak tahu pada tahun pertama Thames Waters telah menghantar bil tuntutan sebanyak RM100 juta setahun kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Ekoran tuntutan tidak masuk akal itu, menteri besar Nik Abdul Aziz Nik Mat waktu itu mengarahkan syarikat tersebut diambil alih dan ditukar status kepada perbadanan, katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Abdullah yang menyalahkan Umno sebagai punca masalah bekalan air di Kelantan.

Mohd Amar dilaporkan berkata, Umno pada 1990 membatalkan projek bekalan air Kelantan Utara bernilai RM600 juta yang diluluskan persekutuan selepas parti itu kalah pilihan raya di negeri.

Dakwanya, kerajaan negeri tidak pernah menerima cek RM600 juta dari menteri kewangan waktu itu, Daim Zainuddin.

Sebaliknya, wang tersebut terus dibayar kepada kontraktor yang dilantik kerajaan pusat bagi pembangunan infrastruktur air di Kelantan.

Beliau mendakwa, peruntukan tidak disalurkan walau kerajaan negeri waktu itu bersetuju memindahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pemindahan itu melibatkan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri atau lebih dikenali dengan migrasi air melibatkan Pengurusan Aset Air Sdn Bhd (PAAB).

Husam menangkis tuduhan itu dengan menjelaskan, beliau sendiri antara yang terlibat dalam usaha PAS mendapatkan semula pemilikan saham Kelantan Waters daripada syarikat Thames Water PLC.

Dedah beliau, Nik Aziz berjumpa Dr Mahathir dua kali, pada 1999 dan 2000 bagi menuntut kerajaan pusat meluluskan geran sebanyak RM600 juta.

Namun kerajaan pusat tidak dapat berbuat demikian kerana Kelantan Waters pada waktu itu dimiliki oleh entiti asing.

Husam berkata, kerajaan negeri berjaya mendapatkan semula Kelantan Waters daripada syarikat Thames Water pada 2001 dan ditukar kepada Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB).

Syarikat tersebut kemudian diletakkan bawah tanggungjawab Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), katanya.

Tambahnya pada tahun itu juga Daim menyerahkan sendiri cek bernilai RM600 juta untuk diberikan kepada menteri besar bagi pembangunan air di Kelantan.

“Tahun 2001 itu saya di Parlimen, tiba-tiba saya dijemput menteri kewangan Tun Daim di pejabatnya. Beliau serahkan saya cek RM600 juta lebih untuk diserahkan kepada menteri besar.

“Saya bukan dalam kerajaan, kebetulan saya di Parlimen. Jadi kita mula terima geran RM600 juta lebih.

“Masa itu saya ahli Parlimen Kubang Kerian, dan Nik Aziz masa itu minta saya tulis surat ucapkan terima kasih kepada Tun Daim

“Ini bermakna kata (Nik Mohd Amar) sebelum ini kita tak dapat geran kerana masalah lain bukan sebab kerajaan pusat cuba membuli kita. Ini fakta,” katanya.

Jelasnya, Nik Mohd Amar sepatutnya maklum perkara tersebut kerana timbalan menteri besar Kelantan itu merupakan ahli lembaga Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin) pada waktu berkenaan.

Yakin memiliki 30% saham syarikat Kelantan Waters pada masa itu.

Jelasnya, Nik Amar patut tahu kerana tuntutan perbelanjaan tidak masuk akal oleh syarikat Thames juga diluluskan oleh lembaga pengarah Kelantan Waters pada masa tersebut.

Antar perkara tidak masuk akal yang dituntut itu termasuk bayaran kepada pengurus syarikat asing itu untuk berhibur di negara seberang, kata Husam.

“Mohd Amar berada dalam lembaga tersebut dan bila kita buat audit dalam tuntutan mereka kita terpaksa bayar.

“Dan ini telah diluluskan lembaga perbelanjaan pengurus asing ini pergi ke Thailand untuk bercuti hujung minggu.

“Perkara ini jarang disebut tapi saya terpaksa imbau kembali supaya mereka sedar dan jangan lari dari fakta kerana lembaga sendiri luluskan tuntutan ini dengan jumlah yang tidak patut kerajaan negeri bayar,” katanya.

Tambahnya lagi dakwaan Mohd Amar bahawa Kelantan tidak mendapat peruntukan selepas bersetuju dengan perstrukturan semula industri air juga tidak benar.

Beliau berkata segala hutang Air Kelantan Sdn Bhd, AKSB bernilai RM700 juta lebih diambil alih kerajaan pusat selepas perjanjian tersebut.

Begitu juga dengan geran kerana bawah konsep migrasi Pengurusan Air Aset Sdn Bhd (PAAB) untuk membina loji dan empangan baharu untuk diserahkan kepada AKSB.

“Jadi tak timbul masalah. Tak pernah pula timbul kata kerajaan pusat melanggari kerajaan perjanjian migrasi 2016. Sudah enam tahun.”

Husam berkata ia membuktikan krisis air di Kelantan yang meruncing bukan disebabkan ketiadaan dana.

Beliau memberi contoh loji baharu bagi rawatan air di Kampung Telok, Kota Bharu yang merupakan antara sembilan projek dijalankan kerajaan negeri sejak 2021.

“Bila loji siap tapi air tidak boleh sampai le rumah. Macam apa berlaku di Kampung Telok, belanja RM4.82 juta patut keluar 32 juta liter air satu hari.

“Tapi hari ini hanya boleh keluar 10 liter air satu hari. Yang kita nak tahu macam mana tak boleh keluar air dan ini yang kita nak siasat, rakyat Kelantan patut diberi penjelasan,” katanya.

Lapan lagi projek antaranya melibatkan loji rawatan air baharu (RM2.75 juta) dan pembaikan paip air (RM338,000) di Bachok, serta penggantian paip (RM23.3 juta) dan naik taraf dua loji (RM720,600) di Kota Bharu.– 24 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen