TIGA hari lalu, dia menyambut ulang tahun ke-20 sebagai rakyat Malaysia pertama menjejak puncak gunung tertinggi dunia.
Dalam tempoh 10 bulan selepas itu, dia menyambut satu lagi hari penting dalam hidupnya iaitu ulang tahun perkahwinan dengan isteri tercinta.
Ramai kekasih akan berkata sanggup “naik ke bulan” atau “menyeberangi lautan” demi pasangannya, tetapi lelaki ini mendaki 8,848 meter dan kembali untuk berkahwin.
Dia ialah Magendran Munisamy.
Pada asalnya, lelaki berusia 53 tahun itu bercadang mengahwini isterinya sekarang V. Senthamarai, sebelum dia mendaki Everest tetapi kemudian mengambil keputusan lebih baik menangguhkan perkahwinan bagi memberikannya sesuatu untuk dinantikan.
Dia juga memberitahu mertuanya mengenai rancangan mendaki gunung itu dan mereka memberi restu dan menghubunginya mengucapkan tahniah selepas dia berjaya menawan puncak Everest.
“Saya tahu apa yang saya buat itu bahaya, saya mungkin tidak kembali, saya tidak mahu isteri saya terikat jika saya mati di sana.
“Saya sayang isteri saya, saya bukan saja mahu membuktikan pada diri sendiri yang saya mampu melakukannya (mendaki Everest) tetapi juga buktikan cinta saya padanya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, selepas pulang ke Malaysia pada 3 Jun, 1997 rancangannya untuk mengahwini Senthamarai terpaksa ditangguhkan lagi kerana dia melaporkan tugas sebagai guru dan pada 1 Julai, dia dipindahkan sekali lagi ke Kementerian Pendidikan.
Permohonannya ke Universiti Malaya juga membuahkan hasil apabila ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang sains sukan di peringkat ijazah sarjana muda. Pada masa itu dia memutuskan tidak mahu menunggu lagi dan mengahwini cinta hatinya.
“Saya menghantar permohonan ke universiti sebelum menjadi Everest. Jadi sementara merancang untuk berkahwin, saya terpaksa kerja untuk membayar yuran pengajian dan belajar pada masa sama,” katanya.
Kini, bapa kepada dua anak lelaki dan seorang perempuan, Jagdeishwar, 18, Sidheshwer,12 dan Bindyabashini, 17, berkata dia akan menyokong anaknya jika mereka mahu mendaki Everest atau apa juga jenis sukan.
“Mereka bangga dengan bapa mereka sebagai hero negara. Terserah kepada mereka untuk buat keputusan dan saya akan sokong apa pun sukan yang mereka sukai,” katanya.
Jika diberi peluang, Magendran berkata dia mahu mendaki Everest lagi. Pada 2008 dia cuba mengumpulkan ahli pasukan ke Everest tetapi ia dibatalkan kerana kekangan kewangan.
“Saya hendak sangat melakukannya lagi.
““Saya cuba untuk mendaki Everest sekali lagi, tetapi sebagai penjawat awam di bawah Kementerian Belia dan Sukan, saya hanya dibenarkan mengambil 35 hari cuti tanpa gaji sedangkan mendaki Gunung Everest memerlukan tempoh 75 hari.”
“Tetapi oleh sebab cuti tanpa gaji, ramai antara kami terpaksa batalkan rancangan itu. Latihan sepatutnya dua tahun di Nepal,” katanya.
Magendran mengahwini Senthamarai, 44, pada 1 Februari, 1998 dan setiap tahun akan mendaki Gunung Kinabalu membawa bersama beberapa pelajar terpilih untuk berkongsi minatnya dalam aktiviti pendakian.
Dia juga menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan fizikal di Universiti Malaya dan kini berkhidmat sebagai penolong guru kanan kokurikulum di sebuah sekolah di Subang Jaya. – 27 Mei, 2017.
Komen