Selesai isu kemudahan asas, peluang BN cerah di Kelantan


Mohd Farhan Darwis

BARISAN Nasional (BN) perlu kemuka tawaran munasabah dan janji yang mampu ditunaikan kepada rakyat Kelantan jika mahu merampas negeri itu dari PAS, kata Ahmad Jazlan Yaakub.

Pengerusi Umno negeri itu berkata, tawaran perlu dikhususkan kepada pengundi di luar Kelantan yang akan balik setiap kali pilihan raya bagi menentukan kerajaan bagi mentadbir negeri tersebut.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, BN akan dihukum semula oleh pengundi sekiranya ia tidak mampu dilaksanakan.

“Sudah tentu kita mesti hidangkan sesuatu yang boleh menarik perhatian rakyat tapi kita mesti berhati-hati, kita mesti kemukakan janji yang mampu ditunaikan,” kata ahli Parlimen Machang itu.

Jelasnya, BN perlu mengambil kesempatan kerana pengundi Kelantan kini semakin tidak mempercayai PAS kerana tiada perubahan disaksikan sepanjang 32 tahun pentadbiran parti itu.

Beliau memberi contoh, BN harus berupaya menyelesaikan isu keperluan asas seperti bekalan air bersih yang tidak pernah selesai sepanjang pentadbiran PAS.

“Tiada sebab (isu air tidak boleh diselesaikan), masalah ada (di negeri lain) tapi tak seburuk di Kelantan.

“Negeri lain boleh buat kenapa tidak di Kelantan, saya tidak nampak mengapa isu ini tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata BN harus berupaya menyelesaikan isu keperluan asas seperti bekalan air bersih yang tidak pernah selesai sepanjang pentadbiran PAS.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

Katanya, penduduk dapat menyaksikan pentadbiran PAS tidak membawa perubahan kerana tidak mampu mengatasi masalah bekalan air tersebut.

“Rakyat dapat melihat lebih tiga dekad PAS memimpin Kelantan keadaan rakyat tak berubah, kita dapat lihat rakyat sudah mulai merasakan ini kegagalan kerajaan PAS di Kelantan.

“Pada hemat saya kali ini rakyat Kelantan akan memberi sokongan kepada BN dan beri peluang kepada BN untuk memimpin negeri Kelantan,” katanya lagi.

Dengan keyakinan itu, BN kini menyasarkan untuk menang di lebih 23 dari kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk membentuk majoriti mudah, katanya.

Beliau juga memberi amaran, ia bukan laluan mudah memandangkan PAS mempunyai kelebihan sebagai parti pemerintah.

“Tetapi kita tidak boleh memandang rendah keupayaan PAS yang memimpin selama 32 tahun. Mereka kerajaan di Kelantan, sudah tentu ada kawasan tertentu yang mereka kuat,” katanya.

Namun rakyat Kelantan kini tidak lagi termakan dengan usaha PAS dalam berkaitan hudud kerana sedar ia hanyalah langkah politik mendapatkan sokongan semata-mata, katanya.

Ini kerana PAS masih tidak mampu melaksana undang-undang hudud walaupun menguasai Putrajaya dan kedudukan penting dalam pentadbiran Islam.

“Ini retorik PAS yang sentiasa gunakan agama menarik undi dan dagangan politik. Sekarang menteri agama pun dari PAS, sebelum ini menteri Parlimen dan undang-undang juga dari PAS, setiausaha agungnya.

“Tapi mengapa rang undang-undang hudud ini tak dibawa ke Parlimen? Rakyat dah tahu, rakyat dah sedar,” katanya.

BN kini menyasarkan untuk menang di lebih 23 dari kesemua 45 kerusi DUN Kelantan untuk membentuk majoriti mudah, kata Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai menteri undang-undang dan hal ehwal Parlimen sewaktu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri kelapan.

Selepas pentadbiran kerajaan bertukar sekali lagi tahun lalu, perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob melantik Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebagai menteri hal ehwal agama.

PAS tetap mengekalkan Kelantan walaupun pentadbiran Putrajaya bertukar sejak 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN dalam pilihan raya umum ke-14.

Pada waktu ini, Umno Kelantan kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri PAS walaupun membuat keputusan pada Januari lalu untuk tidak bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

Susulan keputusan itu, kempen untuk merampas semula Kelantan dari PAS dikesan bergerak.

Antaranya melalui veteran parti itu Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan bekerjasama dengan Amanah – parti serpihan PAS yang merupakan salah satu komponen Pakatan Harapan.

Ahmad Jazlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan itu sebaliknya melihat ia merupakan tindakan bersifat peribadi.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau, tiada keputusan parti di peringkat Pusat dan negeri, kita tak boleh mengambil tindakan melulu sebab kita belum dapat penjelasan Ku Li.

“Mungkin pertemuan biasa, bukan ikatan (politik sebaliknya hanya) pandangan politik dengan mana-mana pihak, kita tak boleh terburu-buru,” katanya.

Ahmad Jazlan ditemui dalam majlis ramah mesra Aidilfitri bersama perantau Kelantan di Lembah Klang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Seorang anak Kelantan yang hadir, Mohd Nor Payzul Mohamed juga beranggapan pengundi mula sedar PAS tidak mampu melaksanakan janji walau turut menguasai Putrajaya.

“PAS dah ada (dalam kerajaan) pusat tapi apa yang PAS mampu buat, masih di tempat sama lagi. Saya tak dengar lama dah, sunyi sepi terus hudud.

“Rakyat dah nampak, PAS tak boleh pegang jawatan 100%,” kata anak kelahiran Pasir Mas berusia 39 tahun itu.

Pengundi di Kelantan mula sedar PAS tidak mampu melaksanakan janji walau turut menguasai Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

Beliau merupakan antara 200,000 pengundi yang menetap di luar dan pulang mengundi dalam pilihan raya umum 2018.

Penggiat seni dikir barat itu juga sering berulang-alik ke Kelantan dan Kuala Lumpur bagi memenuhi jemputan persembahan kesenian tersebut.

Beliau kecewa kerana kurangnya peluang pekerjaan yang ditawarkan di negeri itu menyebabkan individu sepertinya perlu merantau ke ibu kota.

“Berapa lama kami nak kerja di KL perlu ulang-alik ke Kelantan,” soalnya.

Seorang lagi anak watan, Mohd Faris turut melihat BN berpeluang mentadbir Kelantan jika tawarannya mampu menyelesaikan isu kemudahan asas kepada negeri itu.

Jurujual berusia 49 tahun yang berasal dari Machang berpandangan PAS tidak berupaya merencana pembangunan fizikal di negeri itu berbanding BN.

Beliau mengambil contoh kemajuan yang berlaku di Terengganu sewaktu dipimpin BN dan PAS hanya meneruskan pelaksanaan tersebut.

“Selesaikan isu air, kemudahan asas untuk rakyat seperti jalan raya, bukan untuk rakyat di luar, tapi untuk rakyat di Kelantan.

“Jika itu berlaku, kalau BN menang 100% bonus. Saya rasakan banyak tempat mereka boleh ambil,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan PAS melaksana undang-undang hudud yang menjadi tawaran parti itu sewaktu kempen PRU14.

“PAS dah duduk dalam kerajaan, walaupun tak sepenuhnya daripada PAS tapi kenapa tak bersuara dengan agenda yang pernah mereka nak buat dulu? Adakah mereka dah selesa, kita pun tak tahu.” – 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen