Memang sengaja Save Kelantan terasing dari Amanah, kata Husam


Diyana Ibrahim

NGO Save Kelantan bukan gerakan politik bagi menghadapi pilihan raya tetapi pertubuhan yang melaksana semak imbang ke atas pentadbiran kerajaan negeri, kata bekas exco Husam Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

SAVE Kelantan sengaja dirancang supaya kelihatan terasing dari parti Amanah walaupun melibatkan pemegang taruh yang sama, kata pengerusi NGO tersebut Husam Musa.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, usaha dijalankan Save Kelantan tidak dilaksana melalui platform Amanah kerana gerakan ini memerlukan pendekatan lebih luas dan merentasi parti politik.

“Kalau belakang tabir, kita berpakat supaya nampak kita asing. Supaya orang nampak Save Kelantan ini bukan produk Amanah…

“.... Lebih baik macam itu. Nampak terasing (tapi) di belakang itu pemegang taruh kita berhubung,” katanya sambil tersenyum.

Husam berkata jika beliau menggerakkan kempen NGO tersebut melalui Amanah, sudah tentu pelbagai tuduhan dan serangan dilemparkan terhadapnya.

“Saya percaya dengan cara merentasi sempadan parti lebih berkesan. Kalau saya bawa di bawah parti, orang akan bangkit parti ini saya tak suka.

“Ini masalah (jika melalui) parti. (Orang akan kata) Parti ini lawan kepada parti saya. Parti ini saya suka, parti ini yang untung,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Beliau menjelaskan hala tuju NGO tersebut yang dilihat terasing dari Amanah Kelantan, yang kini menggerakkan usaha berasingan bagi merampas pentadbiran negeri dari parti PAS.

NGO Save Kelantan mula dilancarkan Husam pada April, serentak dengan usaha pemimpin Amanah bersama menjalin kerjasama dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Gerakan dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan itu dilaporkan bertujuan menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain Tengku Razaleigh, usaha Amanah Kelantan itu juga melibatkan DAP, Pejuang dan Putra.

Jelas Husam lagi, NGO Save Kelantan bukan gerakan politik bagi menghadapi pilihan raya tetapi pertubuhan yang melaksana semak imbang ke atas pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, badan itu kini menumpukan usaha mendedahkan masalah yang melanda rakyatnya akibat ketirisan dan kelemahan pentadbiran PAS Kelantan.

Husam Musa lancarkan NGO Save Kelantan pada April, serentak dengan usaha pemimpin Amanah bersama menjalin kerjasama dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

Bekas exco kanan Kelantan itu berkata paling penting Save Kelantan mahu memberi kesedaran kepada kerajaan negeri supaya tidak terleka dan tidak terus berada dalam penafian.

“Sebab itu falsafah Save Kelantan kita bukan sahaja mendedahkan dan mahu beri kesedaran kepada rakyat Kelantan.

“Yang paling utama kita nak beri kesedaran kepada pemimpin, penjawat awam yang terlibat kerana kadang kala mereka terleka,” kata pengerusi Amanah Kota Bharu itu.

Husam menjelaskan, peranan Save Kelantan dalam membongkar isu pentadbiran kerajaan negeri terbukti apabila pendedahan NGO itu mengenai kemusnahan kawasan tadahan air di Kuala Krai.

“Selepas dua minggu ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman naik ke kawasan sama dan keluar kenyataan pembalakan dihentikan.

“Maksudnya kita ada tindakan segera hasil dari aktiviti (pendedahan) kita. Hala tuju kita nak kerajaan sedar dan rakyat sedar ambil tindakan,” katanya.

Bekas wakil rakyat Salor itu berkata, pendedahan berkenaan tetap membawa implikasi politik jika kerajaan negeri terus menafikan masalah yang berlaku.

Jelasnya, rakyat akan menghukum kerajaan negeri dan sokongan ke atas PAS mungkin berkurangan sekiranya perubahan tidak dilakukan dalam pentadbiran.

“Rakyat ada hak untuk beri pengajaran dalam bentuk pengurangan undi, saya tak kata mereka perlu tukar kerajaan.

“Tapi mereka kurangkan sikit undi kepada parti mereka sokong supaya dengan itu ada sedikit kesedaran dan mungkin mereka akan cepat melakukan reformasi dalam pentadbiran,” katanya.

Tambahnya, gerakan Save Kelantan mahu kekal dengan pendirian tidak berkecuali jika berlaku pertukaran kerajaan di Kelantan selepas pilihan raya umum ke-15.

Bahkan beliau mencadangkan parti yang mengambil alih atau yang kekal mentadbir Kelantan kelak melaksana piagam Save Kelantan.

“Bila mereka menang esok mereka kena melaksanakan apa yang mereka janjikan dalam piagam Save Kelantan.

“Kalau kerajaan baharu didapati laksanakan apa kita setujui dalam piagam maka kita pantaulah. Kalau mereka tidak setuju kita akan tekan supaya mereka tidak mengulangi perkara sama,” katanya. – 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen