RAKYAT Malaysia dijangka mengalami kekurangan bekalan ayam dalam beberapa hari akan datang apabila penternak ayam mogok berikutan kelewatan kerajaan membayar subsidi.
Harga ayam melambung tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan kenaikan harga makanan dan juga ayam pedaging (anak ayam).
Akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia melaporkan empat ladang ayam di Melaka menghentikan bekalan ayam pada 21 dan 22 Mei atas alasan “masalah dalam ladang ternakan”.
Boikot itu sebahagian besarnya didorong oleh kelewatan subsidi 60 sen sekilogram yang dijanjikan kerajaan kepada petani.
Boikot hujung minggu itu dijangka merugikan industri sebanyak RM26 juta.
Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLAM) bagaimanapun menafikan beberapa penternak ayam di Melaka akan menangguhkan operasi bagi membantah penangguhan itu.
Bernama melaporkan, sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin, mengeluarkan notis bekalan ayam dihentikan pada 21 dan 22 Mei atas alasan ayam di ladang mereka tidak bertambah berat pada kadar yang sepatutnya.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor turut menafikan dakwaan tidak akan ada bekalan ayam di pasar borong Selayang, sebaliknya menyatakan stok terhad.

Benarkah bekalan ayam kurang?
Tinjauan The Malaysian Insight di pasar basah Klang di Jalan Meru dan pasar Chow Kit di Kuala Lumpur menunjukkan terdapat kekurangan bekalan ayam segar pagi semalam, dengan harga melambung hingga RM13 sekilogram walaupun kawalan harga dikuatkuasakan.
Harga borong ayam ditetapkan pada RM6.20 sekilogram semasa musim perayaan Deepavali. Ia kemudiannya dikurangkan kepada RM6.10 sekilogram semasa Krismas dan bagi Tahun Baharu Cina harga turun lagi kepada RM5.60 sekilogram.
Seekor ayam standard pada masa ini dijual pada harga RM8.90 sekilogram, 20 sen lebih murah daripada harga siling tetap RM9.10.
Harga itu ditetapkan Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan akan berakhir hingga 5 Jun.
Penjual berkata, mereka tidak mendapat bekalan mencukupi dari ladang dan menjualnya pada harga RM8.90 sekilogram jelas tidak berbaloi.
Tinjauan juga menunjukkan beberapa gerai ayam ditutup pada hari itu kerana kekurangan bekalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, yang menyedari isu itu berkata, pihak kilang memberitahu beliau ayam mereka tidak mencapai berat yang dikehendaki 1.8kg.
Penyakit juga dikenal pasti sebagai satu lagi punca kekurangan ayam, menurut akhbar Sinar Harian yang memetik Zainal Abidin, pengerusi Persatuan Penternak Ayam Selangor, yang berkata perkara itu dilaporkan ahli persatuan.
Di kedai runcit di Setia Alam dan Meru, ayam segar dijual pada harga RM10 sekilogram. Pemilik berkata, harga akan kekal sehingga bekalan disambung semula.
Pengguna dalam pada itu melahirkan rasa kecewa dengan harga yang tinggi, terutama ketika rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri masih diadakan.

Bagaimana ia boleh terjadi?
Penternak ayam memberi amaran kepada kerajaan harga siling rendah yang berterusan untuk ayam dan telur akhirnya akan menjejaskan industri yang mengalami tamparan hebat akibat perintah kawalan pergerakan semasa pandemik Covid-19.
Penternak ayam memberitahu The Malaysian Insight dengan harga siling semasa RM5.60 sekilogram untuk ayam borong, penternak kehilangan RM1 bagi setiap kg yang dijual.
Ia menyebabkan kerugian hampir RM200 juta setiap bulan, menyebabkan ramai penternak ayam beralih ke perniagaan lain untuk menampung kehidupan.
Harga siling menyebabkan petani mengalami kerugian apabila kos makanan mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada Mac disebabkan perang berterusan antara Ukraine dan Russia.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dalam laporan bulan lalu berkata, harga komoditi makanan dunia mencapai paras tertinggi ketika perang mencetuskan gelombang kejutan melalui pasaran untuk bijirin ruji dan minyak sayuran.
Indeks Harga Makanan FAO berpurata 159.3 mata pada Mac, naik 12.6% berbanding Februari apabila ia sudah mencapai tahap tertinggi sejak penubuhannya pada 1990.
Russia dan Ukraine, masing-masing menyumbang kira-kira 30% dan 20% daripada eksport gandum dan jagung global, sepanjang tiga tahun lalu.
Harga gandum dunia melonjak sebanyak 19.7% pada Mac manakala harga jagung mencatat peningkatan 19.1% bulan ke bulan, mencecah rekod tertinggi bersama barli.
Jeffery Ng, bekas penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLAM) berkata, satu beg makanan 50kg dahulu berharga RM100 tetapi kini berharga RM130 dan ini dijangka terus meningkat.
FLAM berkata, kos makanan yang lebih tinggi mungkin memaksa pengeluar ayam telur untuk mengurangkan ternakan dan kos, akhirnya akan menyebabkan lebih banyak kekurangan bekalan dalam pasaran.
Persatuan itu mewakili 15 penternak ayam dan telur di seluruh negara.
Di samping kenaikan harga makanan dan penghantaran sejak Ogos 2020, penternak kini terpaksa berdepan kenaikan harga ayam daging.
Menurut FLAM, harga ayam daging naik sebanyak 30 sen.
Ia menyebabkan ramai penternak enggan membeli anak ayam dengan harga baharu kerana bimbang akan rugi.
Bagi meringankan beban penternak ayam, Kabinet bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada mereka.
Namun kelewatan dalam pembayaran subsidi kini menyaksikan penternak ayam yang tidak berpuas hati memberontak susulan kos tinggi yang dihadapi mereka. – 23 Mei, 2022.
Komen