PERMINTAAN tinggi terhadap bekalan ayam ketika musim perayaan yang berlaku serentak dengan peningkatan harga makanan bahan mentah itu antara punca bekalan sumber protein berkenaan terjejas di Selangor.
Pengerusi jawatankuasa tetap infrastruktur, kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani negeri Izham Hashim berkata selain dua punca itu, beliau difahamkan jangkitan penyakit ayam di ladang juga menjadi penyumbang kepada kekurangan bekalan namun pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu.
“Susulan itu satu mesyuarat khas membabitkan jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pemodenan Pertanian dan Industri Asas negeri akan dijalankan esok. Dijangka kami akan dapat hasil mesyuarat itu esok,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Convention Centre, Shah Alam hari ini.
Izham berkata, pihaknya juga meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri untuk menghubungi semua pembekal dan penternak ayam di Selangor bagi memeriksa status terkini bahan mentah itu.
Sementara itu Izham berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada Selangor sedang menghadapi masalah bekalan ayam import dari Thailand dan China yang kebergantungan sekitar 60%.
“Bekalan ayam di Selangor sebelum ini memang tidak mencukupi, memang kami import. Hanya 35% hingga 40% ayam tempatan yang selebihnya memang import.
“Jadi sebab itu saya rasa saya perlu lihat kedua-duanya. Kadangkala bila bekalan kita (ayam tempatan) ‘okey’, tapi bila import pula terganggu, sama sahaja impaknya,” katanya.
Semalam pengerusi jawatankuasa hal ehwal agama Islam, hal ehwal pengguna dan industri halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung isu bekalan ayam yang didakwa tidak mencukupi sejak kebelakangan ini, pada esok (23 Mei). – Bernama, 22 Mei, 2022.
Komen