Penggunaan ganja dalam perubatan perlukan bukti, kata Exco Melaka


Penggunaan ganja atau rami terhad kepada tujuan perubatan dan saintifik sahaja, kata Kementerian Kesihatan. – Gambar fail EPA, 22 Mei, 2022.

PENGGUNAAN ganja atau ‘cannabis’ bagi tujuan perubatan perlu disertakan dengan fakta dan bukti kajian, bukan semata-mata menerusi komen bersifat populis, menurut Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, sebagai pengamal perubatan, beliau mengalu-alukan apa juga jenis ubat yang mampu memberi kesembuhan kepada pesakit, sama ada ubat sedia ada atau ubat baru ditemukan, termasuk penggunaan ganja.

Menurutnya, satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat (AS) bagi melihat sekiranya ganja mampu merawat penyakit seperti sklerosis berbilang, muntah akibat rawatan kemoterapi, tekanan pascatrauma, kanser, epilepsi dan masalah usus; selain penyakit cachexia, glaukoma, HIV/Aids, penyakit saraf, sindrom tourrete, parkinson, demensia, ketagihan, kecederaan otak trauma, skizofrenia serta masalah mental lain.

Katanya, berdasarkan kajian itu, hanya kesakitan kronik dan sklerosis berbilang sahaja yang menunjukkan ganja mampu memberikan rawatan kepada pesakitnya, manakala penyakit lain tidak mempunyai bukti kukuh untuk menunjukkan ia berkesan bagi merawat penyakit.

“Seharusnya satu kajian lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan ganja ini selamat dan berkesan digunakan untuk tujuan perubatan ataupun sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen