Dunia sudah tak yakin dengan ekonomi Malaysia, kata Anwar


Kita perlukan kepimpinan yang boleh cetuskan keyakinan rakyat dan pelabur, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

KEJATUHAN berterusan Ringgit menunjukkan yang dunia sudah hilang keyakinan dengan ekonomi Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

“Kita memerlukan kepimpinan yang pertama-tamanya perlu mencetuskan keyakinan rakyat sebelum kita boleh bermimpi mencetuskan keyakinan luar dan kemudiannya pelaburan.

“Pelan yang betul untuk pemulihan (ekonomi) tepat memerlukan pemikiran kompleks dan mengakui kompleksiti ekonomi semasa,” kata pemimpin pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejatuhan Ringgit bermaksud rakyat Malaysia memperolehi nilai yang berkurangan walaupun masih melakukan jumlah kerja yang sama.

“Walaupun kebanyakan kekecohan ekonomi global sejak beberapa bulan lepas boleh dipersalahkan ke atas pemulihan berterusan daripada pandemik dan gangguan perang di Ukraine, situasi di Malaysia kekal lemah tanpa petunjuk penambahbaikan sedangkan yang lain (negara lain) dibenarkan kembali ke kelaziman.

“Saya mendesak kerajaan untuk memberikan rancangan jangka panjang kepada rakyat Malaysia yang boleh mencetuskan keyakinan yang kita berhak dapat.

“Kerja dibuat rakyat adalah paling mustahak dalam membawa semula negara (ke landasan tepat) dan anda, rakyat, berhak mendapat ganjaran daripada kerja keras anda,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Selepas nilai tinggi RM4.41 bersamaan satu dolar, Ringgit ditutup pada kadar RM4.39 pada Jumaat. – 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen