Indonesia batal larangan eksport minyak kelapa sawit tak beri kesan besar, kata Zuraida


Indonesia dan Malaysia adalah antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

TINDAKAN Indonesia membatalkan larangan eksport minyak kelapa sawit tidak akan memberi kesan besar kepada harga minyak kelapa sawit mentah, kata Zuraida Kamaruddin hari ini.

Menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata larangan itu sebelum ini memang bersifat sementara dan syarikat perladangan dan pihak berkepentingan tidak perlu terlalu bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

“Walaupun ada kemungkinan yang menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan, KPPK menjangkakan tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Walaupun begitu, disebabkan eksport minyak sayuran lain seperti kacang soya, jagung, biji bunga matahari dan biji serai sedang terjejas disebabkan konflik berterusan di Ukraine dan penutupan pelabuhan di Laut Hitam, Zuraida menambah yang harga minyak kelapa sawit mentah dijangka akan kekal tinggi.

Tindakan terbaru Indonesia juga, katanya lagi, memberi kelebihan besar kepada Malaysia.

“Penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekaligus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q).”

Katanya lagi, dasar eksport Indonesia juga boleh memberi kelebihan kepada Malaysia terutamanya dalam peningkatan pegangan pasaran di India.

“Cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Oktober, daripada lebih 75% sedekad lalu, menurut anggaran daripada Solvent Extractors’ Association of India (SEA), sebuah badan perdagangan minyak sayuran,” katanya.

India adalah pembeli utama minyak masak dunia. Pada lima bulan pertama 2021/2022, ia membeli 1.47 juta tan minyak kelapa sawit Malaysia berbanding hanya 982,123 tan dari Indonesia.

“Untuk Mei tahun ini, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia.”

Indonesia akan membatalkan larangan eksport itu pada 23 Mei ini.

Presiden Joko Widodo berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bekalan dan harga semasa serta pertimbangan yang dibuat kepada kebajikan 17 juta pekerja dalam industri minyak kelapa sawit di Indonesia.

Indonesia mengeluarkan hampir 60% bekalan minyak kelapa sawit dunia. Ia melarang eksport akhir bulan lepas dalam cubaan mengekalkan bekalan dalam negara dan mengawal harganya.

Larangan itu menyebabkan harga minyak kelapa sawit mental dari Malaysia melonjak antara Februari dan April tahun ini. – 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen