Walau disabit bersalah masih ramai percaya Najib, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Penganalisis politik berkata pengaruh Najib Razak besar kerana kerana bekas perdana menteri itu bijak berkomunikasi di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

WALAU disabitkan dengan tuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, Najib Razak masih mempunyai ramai penyokong yang mempercayai beliau tidak bersalah kerana bekas perdana menteri itu bijak berkomunikasi di media sosial, kata penganalisis politik.

Najib bijak mempengaruhi rakyat dengan menggunakan rekod prestasinya, sering mengingatkan orang ramai tentang kejayaan yang dicapai kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika di bawah pentadbirannya, tambah mereka.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata pengaruh Najib besar walaupun tidak semua dakwaan ahli Parlimen Pekan itu betul.

“Beliau percaya persona ‘bossku’ nya begitu popular dalam kalangan anak muda. Dan seperti di Filipina yang kita lihat baru-baru ini, di mana keluarga Marcos dijenamakan semula, anda sebenarnya boleh berjaya walaupun separuh daripada kata-kata anda tidak benar.

“(Ia berjaya) bagi anak muda dan orang yang tidak membaca berita atau mereka yang tak percaya berita itu betul. Mereka percayakan Najib.

“Misalnya, sesetengah orang muda Melayu percaya Najib mangsa konspirasi politik. Penyokong tegarnya sudah tentu akan terus setia dan mahu beliau kembali berkuasa supaya mereka mendapat semula manfaat yang dulu mereka perolehi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Chin, Najib masih popular kerana rakyat Malaysia terutamanya Melayu mudah melupakan masa lalu, sama seperti yang disebut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohahamad – Melayu mudah lupa.

Akaun Facebook Najib mempunyai 4.6 juta pengikut, sementara di Instagram pula 977,000.

Beliau lebih aktif di Facebook, saban hari mengulas isu-isu rakyat seperti kos sara hidup yang tinggi dan menggesa kerajaan membenarkan lebih banyak pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Najib juga acap kali mendakwa dasar ekonominya jauh lebih baik semasa beliau perdana menteri, serta mengkritik dasar kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir.

Najib Razak percaya persona 'bossku' begitu popular dalam kalangan anak muda, kata penganalisis politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

Penasihat Utama Pusat Kajian Pasifik Oh Ei Sun memberitahu The Malaysian Insight, Najib berjaya mengekalkan sokongan rakyat terhadapnya kerana beliau adalah sebahagian daripada kerajaan BN yang begitu lama memerintah selama lebih 60 tahun.

“Di kebanyakan negara membangun, parti atau ahli politik yang lama berkuasa mempunyai kelebihan dalam pilihan raya.

“Kalau ekonomi bagus, rakyat pun gembira, maka mereka kalau pun tidak semua, akan dipuji kerana berjaya mengemudi negara dan diundi dalam pilihan raya,” katanya.

Jurucakap kumpulan bekas penjawat awam (G25) Noor Farida Ariffin berkata apa yang dilakukan Najib ketika ini adalah sebahagian daripada strateginya untuk kembali ke tampuk kuasa.

“Beliau berharap akan dipilih semula sebagai presiden Umno. Najib berharap untuk jadi perdana menteri semula, yang sudah pasti tidak masuk akal. Seorang penjenayah yang disabitkan bersalah tidak boleh bertanding dalam pilihan raya, termaktub dalam perlembagaan,” ujarnya.

Noor Farida merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, yang menjatuhkan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib namun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan diselesaikan.

Mengulas lanjut, Noor Farida berkata rakya Malaysia yang waras tidak akan percaya semua kata-kata bekas perdana menteri itu.

“Ramai orang kampung masih percaya beliau dianiaya. Mereka tak baca berita tentang bukti-bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan  1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International,” katanya. 

Isu yang Najib guna untuk mengalih perhatian rakyat dan sebab mengapa beliau popular:

1. Menuduh Pakatan Harapan (PH) memecat peguam negara dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang 22 bulan jadi kerajaan.

Isu ini disentuh Najib semasa berdebat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim minggu lepas. Hakikatnya, tindakan sama juga diambil semasa beliau perdana menteri.

Pada 2015, Najib menggantikan Abdul Gani Patail dengan Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara. Beliau juga menggantikan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu Abu Kassim Mohamed ketika agensi antirasuah itu menyiasat kes 1MDB.

Najib turut memecat timbalannya Muhyiddin Yassin pada 2015 kerana membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dana 1MDB.

2. ‘Cash is king’, king itu rakyat

Dalam debatnya besama Anwar minggu lepas, Najib mempertahankan pendekatan ‘cash is king’ yang sering dikritik Dr Mahathir. Katanya ‘king’ itu adalah rakyat, menekankan pembayaran tunai secara terus berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa berkata penjelasan Najib itu tidak masuk akal.

“Mengaru, tidak logik langsung. Tetapi penyokongnya sudah tentu bersorak kerana rakyat disamakan seperti raja.

“Realitinya, kaedah ini tak bertahan lama, menjadikan rakyat terus bergantung kepada pemberian tunai,” katanya. 

Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa program Debat Perdana yang diadakan di Matic, Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

3. Pendakwaan terpilih

Najib ulang-ulang menyebut beliau mangsa pendakwaan terpilih oleh kerajaan PH berkait kes 1MDB dan SRC International.

Semasa Najib perdana menteri, Anwar menuduhnya dalang di sebalik pertuduhan liwat yang menyebabkan presiden PKR itu dipenjarakan sekali lagi pada 2015.

4. Salah tafsir, putar belit kenyataan

Terkini, Najib menuduh Lim Kit Siang menghasut orang ramai dengan mempersoalkan sama ada Malaysia akan mengalami nasib yang sama seperti krisis di Sri Lanka susulan kenyataan veretan DAP itu yang berbunyi, “Adakah rumah perdana menteri dan menteri Malaysia akan dibakar oleh penunjuk perasaan seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?”

Dengan hanya memetik satu daripada keseluruhan kenyataan Lim, Najib menggesa polis menyiasat ahli Parlimen Iskandar Puteri itu atas dakwaan menghasut.

Lim membidas Najib, berkata beliau tidak berniat untuk menghasut rakyat Malaysia atau menggugat ketenteraman awam, sebaliknya memberi amaran situasi yang berlaku di Sri Lanka tidak mustahi boleh terjadi jika Malaysia menjadi sebuah negara gagal akibat rasuah. 

5. Kerajaan belum bayar hutang 1MDB

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu, Najib mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Kenyataan itu disangkal Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sehari kemudian, berkata kerajaan sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi.

Tengku Zafrul memaklumkan Dewan Rakyat tarikh matang untuk hutang RM32.3 bilion iaitu hutang 1MDB adalah antara tahun 2022 hingga 2039. 

Katanya, sehingga akhir Februari 2022 jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 bilion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.

6. RM2.6 bilion derma kerajaan Arab Saudi

Dalam perbicaraan kes SRC International, Najib hingga ke hari ini menegaskan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Pada 9 Disember lalu, dalam penghakiman bertulisnya Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil berkata kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan, umpama dongeng daripada Hikayat Seribu Satu Malam.

“Kisah ini malah lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam, bukan hanya tidak ada kredibiliti malah dongeng ini bercanggah dan ditolak oleh keterangan berdokumen,” katanya.

7. Hutang Malaysia naik kepada RM1 trilion di bawah pentadbiran PH

Di media sosial, Najib menyalahkan PH atas pertambahan hutang negara daripada RM686.8 bilion pada 2017 kepada RM1 trilion pada 2018 beberapa bulan selepas gabungan itu mengambil alih Putrajaya.

Dakwaan itu bagaimanapun ditepis ahli Parlimen DAP Tony Pua, berkata hutang negara sudah pun mencecah RM1 trilion, yang diwarisi dari kerajaan BN.

Tambah Pua, pentadbiran Najib tidak berterus terang kepada rakyat, sebaliknya memberitahu hutang negara hanya berjumlah RM678 bilion.

8. Dikerumuni penyokong 

Di media sosial Najib sering mempamerkan beliau sentiasa dikerumuni orang ramai. Namun, Noor Farida berkata tidak mustahil penyokong terbabit dibayar oleh Najib.

“Tidak mustahil. Bagi orang yang terdesak akibat pandemik, RM50 jumlah yang besar,” katanya.

Tunku Mohar juga tidak menolak pandangan Noor Farida.

“Saya rasa itu semua penyokong Najib. Tetapi saya juga rasakan mereka dibayar untuk mengerumuni beliau. Saya tak fikir dia cukup berkarisma untuk tarik perhatian orang ramai.” – 22 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen