SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Agensi anti rasuah itu berkata kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Siasatan yang bermula Mac lalu kini selesai selepas mengumpul bukti mengikut prosedur.
“Kertas siasatan diserahkan kepada AGC pada 18 Mei untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan terhadap Nazlan dilancarkan selepas laporan dibuat berdasarkan artikel dalam blog Malaysia Today bahawa Nazlan mempunyai RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
Pada Julai 2020 Nazlan merupakan hakim mahkamah tinggi yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Nazlan membuat laporan terhadap Malaysia Today dan penulis blog Raja Petra Kamarudin menafikan dakwaan tersebut.
Siasatan SPRM terhadap Nazlan menimbulkan bantahan dan dakwaan mengenai percubaan bermotif politik bagi memburukkan hakim dan membebaskan Najib.
Siasatan itu mendapat kecaman dan disifatkan tidak mengikut Perlembagaan kerana Nazlan sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa etika kehakiman.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam ucapannya juga berkata serangan dan ugutan terhadap hakim melampaui batas serta meminta ia dihentikan. – 21 Mei, 2022.
Komen