KERAJAAN menyedari masalah bekalan ayam, kata Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia Tan Chee Hee.
Beliau menafikan bahawa ada ‘boikot’ oleh kilang pemprosesan ayam berlaku pada hujung minggu ini seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal berita yang didakwa sebagai tindak balas kepada penangguhan subsisi kerajaan kepada penternak ayam.
Tan bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa terdapat kekurangan ayam di pasar basah pagi ini.
“Tidak akan ada boikot pada hujung minggu. Tiada perkara seperti itu.
“Perkara itu sudah sampai kepada kerajaan. Kerajaan tahu,” katanya dalam jawapan ringkas kepada soalan diajukan The Malaysian Insight tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.
Sejak beberapa hari lalu media melaporkan rancangan sebuah kilang pemprosesan ayam di Jasin, Melaka untuk ditutup selama dua hari pada hujung minggu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi yang menyedari isu itu berkata beliau diberitahu oleh pihak kilang mereka perlu berbuat demikian kerana ayam yang akan dibekalkan kepada mereka tidak mencapai berat yag dikehendaki iaitu 1.8kg seekor. Syarikat terbabit tidak mahu mempertaruhkan aduan pengguna dan isu rantaian bekalan lain dengan menjual ayam di bawah berat.
Utusan Malaysia kemudian melaporkan bukan hanya satu tetapi empat syarikat ternakan bercadang untuk berhenti beroperasi pada hujung minggu.
Laporan awal hari ini berdasarkan lawatan ke pasar basah di Kuala Lumpur dan Seremban mendapati peniaga ayam berkata mereka menjangkakan tiada bekalan esok dan akan menutup kedai.
Seorang peniaga yang ditemubual juga berkata bekalan ayam berkurangan sejak Hari Raya awal bulan ini.
Penyakit juga dikenal pasti sebagai satu lagi punca kekurangan ayam, menurut Sinar Harian yang memetik Zainal Abidin, pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor yang berkata perkara itu dilaporkan ahli persatuan.
Hari ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata kerajaan akan menghantar stok lebihan bekalan ayam yang ada di pasaran untuk negeri yang berdepan kekurangan bekalan sebagai alternatif penyelesaian jangka masa pendek.
Bekalan dan harga ayam terjejas disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine yang menganggu eksport jagung, gandum dan input lain yang digunakan sebagai makanan ayam.
Di Malaysia kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada RM8.90 sekilogram bermula sejak Februari hingga 5 Jun. – 21 Mei, 2022.
Komen