MoF Inc dijangka bantu Sapura Energy, kata laporan


Menurut The Edge Weekly Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dijangka membantu Sapura Energy Bhd. – Gambar AFP, 21 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dijangka membantu Sapura Energy Bhd, menurut laporan berita.

Memetik sumber, The Edge Weekly berkata MoF Inc sedang meneliti pakej bantuan untuk Sapura Energy.

“Apa yang saya tahu MoF Inc yang akan menghulurkan bantuan kepada Sapura Energy.

“Apa yang dibincangkan pada masa ini ialah beberapa jenis pakej bantuan…ia boleh berupa pemberian dan diumumkan tidak lama lagi,” lapor The Edge Weekly.

Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata pertimbangan lebih teliti terhadap cadangan itu perlu dibuat berikutan industri minyak dan gas merupakan satu industri strategik, dan Sapura Energy merupakan sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia.

“Jadi bantuan itu (cadangan) walaupun tidak melibatkan wang kerajaan, namun Petronas milik kerajaan maka kerajaan perlu melihat lebih teliti sebelum keputusan diambil.

“Kita sedia maklum banyak lagi syarikat kecil dan sederhana dalam industri turut terjejas dan Sapura Energy antara syarikat besar yang terjejas,” kata ahli Parlimen Jeli.

Sapura Energy menjadi tajuk utama baru-baru ini selepas komitmen hutang jangka pendeknya sebanyak RM10.66 bilion pada akhir Januari terbongkar. Selain itu dilaporkan kos pembinaan syarikat untuk FY2022 (berakhir 31 Januari) mencecah RM521.87 juta.

Dalam FY2022 Sapura Energy mengalami kerugian bersih RM8.89 bilion daripada RM4.13 bilon. 

Pada masa itu syarikat itu mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM717.75 juta dan pinjaman jangka pendek sebanyak RM10.66 bilion. Kerugian terkumpulnya ialah RM13.52 bilion.

Walaupun terdapat beberapa desas-desus bahawa Petronas akan mengambil alih syarikat itu dan menyuntik modal baru, spekulasi itu kemudiannya dinafikan oleh Petronas. – 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen