Amah Indonesia akan terima gaji RM1,500, kata duta


Pembantu rumah warga Indonesia yang sedang bekerja di Malaysia akan layak menerima gaji minimum RM1,500 sebaik saja kontrak kerja mereka diperbaharui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2022.

PEMBANTU rumah warga Indonesia yang sedang bekerja di Malaysia akan layak menerima gaji minimum RM1,500 sebaik saja kontrak kerja mereka diperbaharui, kata Duta Indonesia ke Malaysia Hermono.

Beliau berkata gaji minimum itu ditetapkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengambilan kerja dan perlindungan bagi pembantu rumah warga Indonesia, dan ia tidak terhad bagi kontrak baharu saja.

“Pembantu rumah baharu akan dibayar RM1,500. Tetapi pembantu rumah warga Indonesia yang pada masa ini bekerja di Malaysia juga akan menerima gaji minimum itu bila mereka perbaharui kontrak,” katanya dipetik berkata kepada Free Malaysia Today.

Beliau berkata Jabatan Imigresen akan mengeluarkan permit kerja hanya selepas kontrak pekerjaan baharu diluluskan oleh Kedutaan Indonesia.

Pembantu rumah Indonesia pada masa ini menerima gaji antara RM900 dan RM1,200.

MoU itu yang ditandatangani pada 1 April, menetapkan pembantu rumah Indonesia perlu menerima gaji bulanan minimum RM1,500.

Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata kedua-dua negara perlu mengkaji cara membenarkan pembantu rumah Indonesia untuk bekerja separuh masa bagi membantu bakal majikan menjimatkan kos.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insight model perniagaan Grab boleh dijadikan contoh, menambah bayaran RM15,000 untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing, terlalu tinggi.

MoU berkenaan menetapkan kos membawa masuk pembantu rumah sebanyak RM15,000 (akan disemak setiap tiga bulan), dan ia termasuk sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial dan gaji dibayar menerusi pindahan bank sebelum 7 hari bulan setiap bulan.

Ia juga menyatakan seorang pembantu rumah akan berkhidmat untuk maksimum enam ahli keluarga isi rumah dan mereka perlu menjalani kursus pengenalan bagi mendidik mereka tentang hak mereka dan bagaimana mengelak diri dieskploitasi. – 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen