KERAJAAN United Kingdom (UK) disaman kerana terus menggunakan sarung tangan getah buatan syarikat Malaysia Supermax Corporation Bhd, yang terbabit dalam tuduhan penggunaan buruh paksa, lapor laman web guaman Jurist.
Warganegara dan NGO berkenaan memfailkan saman itu susulan kerajaan memberikan kontrak kepada syarikat pembuat sarung tangan getah terbabit untuk membekalkan sarung tangan pakai buang kepada Perkhidmatan Kesihatan Negara, walaupun wujud tuduhan buruh paksa di kilang Supermax di Malaysia.
Mahkamah Tinggi UK pada Rabu membenarkan saman itu diteruskan.
Kontrak itu diberikan pada Disember tahun lalu, hanya sebulan selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berkata ia mendapati ada 10 pelanggaran undang-undang buruh paksa Organisasi Buruh Antarabangsa di kilang Supermax.
Pada Oktober, CBP mengeluarkan perintah sita terhadap produk Supermax di semua pelabuhan masuk AS, susulan dapatan berkenaan buruh paksa.
Susulan itu, kontrak Supermax di Kanada juga dibatalkan, lapor Jurist.
Bagaimanapun, kerajaan Kanada akan membenarkan syarikat itu membuat permohonan untuk kontrak lain pada masa depan.
Supermax pada Januari memaklumkan Bursa Malaysia Bhd ia melaksanakan pelan pengurusan pekerja warga asing yang baharu bagi membaik pulih keadaan bekerja untuk pekerjanya.
Supermax dituduh mendera pekerjanya warga Nepal dengan keadaan kerja yang tidak berperikemanusiaan, pengasingan, sekatan pergerakan, gaji ditahan dan kerja lebih masa keterlaluan, menurut siasatan CBP, lapor Jurist.
Syarikat Malaysia yang lain iaitu Top Glove Corporation Bhd dan WRP Asia Pacific Sdn Bhd juga dikenakan larangan import oleh CBP.
Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik selepas agensi penguatkuasaan AS melihat peningkatan dalam cara syarikat berkenaan menangani tuduhan berkenaan buruh paksa. – 21 Mei, 2022.
Komen