Buat lebih banyak pembaharuan Parlimen sebelum tamat penggal, kata Bersih kepada PM


Bersih menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melakukan pembaharuan sebelum penggal Parlimen semasa tamat pada Julai 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti melaksanakan lebih banyak pembaharuan sebelum tamat penggal Parlimen pada Julai 2021, kata badan pemerhati Bersih hari ini.

Bersih berkata, empat pembaharuan utama yang perlu dilakukan perdana menteri ialah Pembaharuan Peraturan Tetap Parlimen, Undang-undang Anti Lompat Parti yang sedang dikaji, had penggal 10 tahun PM dan Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Sudah tiba masanya untuk memanfaatkan momentum berbilang parti ini untuk memajukan semak dan imbang serta akauntabiliti dalam demokrasi berparlimen kita.

“Proses pembaharuan daripada penetapan agenda kepada cadangan konkrit harus telus melibatkan bukan sahaja semua pihak, tetapi juga pihak berkepentingan lain seperti kumpulan masyarakat sivil, kumpulan profesional dan perniagaan serta ahli akademik.

“Ia tidak boleh dikekang oleh tafsiran sempit Peraturan Tetap Dewan Rakyat 85 yang menghalang pertimbangan Undang-undang Anti Lompat Parti daripada penelitian awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersih berkata masih belum terlambat untuk membuat pembaharuan dalam tempoh baki penggal Parlimen selagi perdana menteri tidak memohon pembubaran awal dan majoriti ahli Parlimen menaruh keyakinan mereka kepadanya.

“Bersih mengingatkan semua pihak bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak semestinya berlaku tahun ini seperti yang dispekulasikan.”

Bersih juga berkata fasa dua pembaharuan politik juga boleh merangkumi perkara berikut:

1. Undang-undang peruntukan pembangunan kawasan (CDF) sama rata di peringkat persekutuan dan negeri;

2. Undi Tidak Percaya Konstruktif untuk mengelakkan perubahan kerajaan yang tidak mampan;

3. Penggal Tetap Parlimen/DUN untuk mengelakkan pilihan raya awal tanpa sokongan majoriti dua pertiga Dewan;

4. Bilangan maksimum menteri dan timbalan menteri persekutuan;

5. Melarang ahli Parlimen dan Adun mengambil jawatan bergaji dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan atau sebagai duta;

6. Peruntukan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita, jika perlu.

Ismail Sabri, selepas mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos tahun lepas, menandatangani memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan bagi memastikan pembaharuan institusi dan kestabilan politik.

Di bawah MoU itu, PH bersetuju untuk tidak mengundi menentang perdana menteri dalam undi percaya.

MoU itu juga menyatakan pilihan raya umum akan datang tidak sepatutnya diadakan sehingga selepas 31 Julai tahun ini, satu syarat yang digunakan Umno untuk menekan Ismail Sabri supaya membubarkan Parlimen selepas Julai.– 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen