PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak timbul isu pensyarah itu layak atau tidak kerana pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan kepakarannya.
“Saya boleh memilih siapa sahaja yang saya fikir saya layak,” katanya susulan pelantikan pensyarah kontroversi Kamarul Zaman Yusoff sebagai pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Malah katanya beliau tidak perlu mengikut apa yang dikatakan parti lain jika mereka merasakan pelantikan Kamarul itu tidak sesuai.
“Saya boleh memilih orang yang saya rasa layak kalau parti lain kata dia tak layak tidak bermakna saya kena ikut apa yang disebut parti lain,” katanya kepada media selepas menghadiri program rumah terbuka Umno Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata pemilihan Kamarul adalah tepat dan percaya pensyarah itu boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.
“Kamarul seorang yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang beri kepadanya.
“Saya percaya dia boleh lakukan dan laksanakan tugasnya sebaik mungkin,” katanya.
Pelantikan penganalisis politik itu mendapat kritikan dari pelbagai pihak terutamanya beliau sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi kerana kenyataan lantang menolak DAP.
Pelantikannya mula diketahui selepas PMO merujuknya sebagai pegawai khas Ismail di media sosial untuk mempromosikan program Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Bercakap kepada media, Kamarul mengesahkan pelantikannya dan menyatakan namanya dicadangkan kepada PMO oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).
Jelasnya, skop kerjanya tidak menyentuh mengenai politik mahupun dasar.
Beliau berkata tugasnya hanya membantu dalam membuat penyelidikan.
“Sebaliknya saya hanya membantu dalam soal harian selain membuat penyelidikan, yang tidak memerlukan saya untuk menonjolkan diri,” katanya. – 20 Mei, 2022.
Komen