SATU lagi lawatan ke Eropah akan dibuat pada April dalam usaha membantah tindakan terbaru Kesatuan Eropah (EU) melarang penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit selepas 2021, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mah Siew Keong.
Mah yang baru saja pulang dari Eropah semalam, berkata beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Eropah bagi program konsultasi minyak kelapa sawit Malaysia-EU pada April.
“Kami membincangkan isu itu di Sepanyol, Belanda, Itali dan United Kingdom, saya melawat kebanyakan negara itu sepanjang minggu lalu.
“Mereka beri saya komitmen bahawa mereka akan menentang diskriminasi terhadap minyak kelapa sawit.
“Kami boleh berharap kepada sokongan mereka ketika wakil Parlimen Eropah dan jemaah menteri membuat keputusan. Sudah tentu, ada beberapa lagi negara yang perlu kita temui sekali lagi,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.
Mah yang juga presiden Gerakan berkata mesyuarat pegawai kanan antara Malaysia dan Indonesia dijadualkan di Kuala Lumpur minggu depan untuk membincangkan perkara itu.
Beliau berkata larangan itu akan menjejaskan kehidupan lebih 650,000 pekebun kecil kelapa sawit kerana 40% daripada kelapa sawit di negara ini ditanam oleh pekebun kecil.
Pada 17 Januari, Parlimen Eropah mengundi untuk mengeluarkan bahan bakar bio minyak kelapa sawit selepas 2020.
Thailand, pengeluar minyak kelapa sawit ketiga terbesar dunia, baru-baru ini menyertai Malaysia dan Indonesia, menolak rancangan EU.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed berkata langkah terbaru EU itu berpotensi melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Mustapa berkata langkah itu akan dianggap diskriminasi terhadap negara pengeluar minyak kelapa sawit.
Negara lain yang turut menyatakan bantahan terhadap langkah itu ialah Sepanyol, Perancis, Sweden, UK (ahli Parlimen Konservatif – sebahagian daripada parti kerajaan Perdana Menteri Theresa May), Jerman dan Belanda. – 16 Februari, 2018.
Komen