Mana janji loker sekolah, tanya bekas timbalan menteri pendidikan


Aminah Farid

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata sudah dua bulan sejak pengumuman itu dibuat namun KPM masih belum memasang loker di sekolah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mesti memberikan jawapan mengenai loker sekolah yang dijanjikan bagi menangani masalah beg sekolah yang berat, kata bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata sudah dua bulan sejak pengumuman itu dibuat namun KPM masih belum memasang loker di sekolah.

Sebaliknya katanya, beberapa sekolah telah mengambil jalan untuk menyelesaikan sendiri isu itu dan mengenakan bayaran kepada ibu bapa untuknya.

Teo memetik laporan media mengenai sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang menawarkan loker untuk pelajar menyimpan buku sekolah mereka dengan bayaran RM120 selama lapan bulan. Pihak sekolah telah menyalurkan pemasangan dan penyelenggaraan loker kepada sebuah syarikat swasta.

“Walaupun projek ini dijalankan dengan persetujuan persatuan ibu bapa dan guru sekolah, persoalannya adalah di manakah loker yang dijanjikan oleh Kementerian Pendidikan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Keadaan ini jelas menggambarkan betapa KPM gagal dalam menyelesaikan isu beg berat dan juga pemasangan loker,” katanya.

Pada 6 Mac 2022, KPM mengumumkan akan menyediakan kemudahan loker di sekolah rendah sebagai pendekatan menangani masalah beg sekolah berat.

Anggaran keseluruhan peruntukan tahun ini ialah RM37.3 juta membabitkan 10,662 kelas dengan 323,186 pelajar.

Menurut KPM, loker akan disediakan untuk murid darjah 1, 2, dan 3 yang beroperasi dalam dua sesi tahun ini manakala fasa kedua inisiatif loker dijangka bermula pada 2023, yang menyaksikan penyediaan loker dilanjutkan ke Tahun Empat, Lima dan Enam murid di sekolah dua sesi.

Teo berkata beliau telah meminta KPM untuk garis masa pelaksanaan di Parlimen tetapi berkata Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon tidak dapat memberikan sebarang penjelasan.

“Apa yang dia katakan ialah lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum sebarang garis masa konkrit boleh diberikan,” katanya.

“Pelik bila kajian itu tidak dijalankan sebelum KPM membuat pengumuman mengenai loker pada 6 Mac.” – 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen