Bukan mudah pertahan kerusi Teluk Intan, kata presiden Gerakan


Asila Jalil

Presiden Gerakan Mah Siew Keong ketika sambutan Tahun Baru Cina bersama Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini. Beliau berkata peluang untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU14 adalah 50-50. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Februari, 2018.

PRESIDEN Gerakan mengakui berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penyandangnya, Mah Siew Keong.

Beliau menganggarkan, peluang untuk mengekalkan kedudukan di kerusi itu pada PRU14 adalah 50-50.

“Ia akan jadi satu cabaran besar kerana semasa kita menang pilihan raya kecil, majoritinya cuma 238 undi.

“Kami juga perlu mengakui pada PRU13 di Teluk Intan, kami kalah 7313 undi, dan itu angka yang besar,” kata Mah kepada pemberita semasa sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata ia bukannya mudah memandangkan kerusi itu adalah campuran dengan pecahan 40% pengundi Melayu, 40% Cina dan 20% India.

Pada PRU12 pada 2008, Mah kalah kepada calon DAP, M Manogaran dengan majoriti 1,470 undi. Beliau kalah sekali lagi kepada calon DAP, Seah Leong Peng pada PRU 2013 dengan majoriti 7,313 undi.

Mah yang juga merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kemudian menang pada pilihan raya kecil pada 2014 selepas penyandang kerusi itu meninggal dunia akibat barah.

Beliau menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Mah seterusnya berkata beliau yakin dapat mengekalkan kerusi itu memandangkan banyak yang telah dilakukan di Teluk Intan seperti pembangunan tebatan banjir.

“Walaupun kami kalah pada PRU13, tapi kami optimis. Kalau anda tanya saya, saya kata peluang kami 50-50,” tambah beliau.

Mah sebelum ini berkata tidak akan memilih kerusi selamat dan berharap akan bertanding di kerusi sama pada PRU14.

Katanya, dakwaan mengatakan beliau akan bertanding di kerusi parlimen yang selamat bagi mengekalkan statusnya sebagai presiden Gerakan adalah tidak berasas. – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dap kena turunkan Ms Diyana lwn MahCaiKeong

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan