PENJUALAN produk kesihatan dan kebersihan yang meningkat semasa pandemik Covid-19 kini berada dalam aliran menurun tiga minggu selepas sekatan dilonggarkan, kata usahawan.
Usahawan yang melihat peluang untuk menjana pendapatan semasa pandemik Covid-19 dengan menjual topeng pelitup muka, cecair pembasmi kuman, peralatan pelindung diri (PPE) dan sarung tangan berkata jualan mula merosot terutamanya sejak sekatan dilonggarkan.
Penjual topeng muka Nur Humairah berkata perniagaannya merosot sekurang-kurangnya 30% sejak awal bulan.
Humairah, yang menjual topeng pelitup muka fabrik tersuai dan topeng muka tiga lapis meramalkan perniagaannya akan menurun dalam beberapa bulan akan datang.
“Sekarang kerajaan sudah melonggarkan mandat pemakaian topeng pelitup muka, orang ramai mengambil mudah. Mereka fikir mereka selamat tanpa memakai topeng pelitup muka.
“Saya masih mendapat tempahan daripada pelanggan tetap saya yang mengambil berat tentang kesihatan mereka tetapi permintaannya tidak seperti dahulu,” kata Humairah kepada The Malaysian Insight.
Semasa kemuncak wabak Covid-19 topeng pelitup muka adalah komoditi yang berharga kerana penggunaannya adalah wajib.
Bagaimanapun selepas kes menurun dengan ketara Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menjadikan penggunaan topeng pelitup muka sebagai pilihan bagi kegunaan luar mulai 1 Mei.
Humairah berkata orang ramai berhenti membeli topeng pelitup muka secara pukal daripadanya.
“Kebiasaannya mereka akan membeli topeng pelitup muka kain dan mereka akan menggunakannya bersama topeng tiga lapis.
“Kini mereka hanya menggunakan topeng pelitup muka jenis kain. Jadi mereka tidak perlu membeli topeng pelitup muka tiga lapis,” kata ibu kepada seorang anak dari Rawang, Selangor itu.
Humairah berkata dia masih mampu menjana sedikit pendapatan melalui tempahan majlis perkahwinan, majlis korporat dan hari jadi.
“Sesetengah pasangan mahukan topeng tersuai khas untuk majlis perkahwinan mereka manakala syarikat korporat juga akan menempah topeng tersuai untuk majlis mereka,” katanya.
Seorang lagi penjual topeng pelitup muka Kristine Lee dari Pulau Pinang berkata jualannya juga menurun sejak awal bulan ini.
Walaupun negara masih mencatatkan antara 2,000 dan 3,000 kes setiap hari, orang ramai menjadi leka.
“Saya cakap begitu berdasarkan jualan saya. Jualan sebelum ini baik tetapi sekarang ia merosot sekitar 20 hingga 30%,” katanya.
Lee yang juga membekalkan topeng pelitup muka kepada beberapa kedai berkata permintaan sudah berkurangan.
“Beberapa kedai pernah menempah 10 karton 50 kotak setiap bulan. Sekarang mereka tidak memesan separuh daripada jumlah itu,” katanya. – 20 Mei, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen