Bekas pengerusi 1MDB akui kesal tidak bersemuka dengan Najib


Noel Achariam

Bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh berkata beliau sepatutnya memaklumkan Najib Razak mengenai penyelewengan dana syarikat, tetapi berasa tidak selesa berbuat demikian. – Gambar Facebook, 19 Mei, 2022.

BEKAS pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang beliau kesal kerana tidak bersemuka dengan Najib Razak berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Di kandang saksi, Bakke berkata beliau sepatutnya memaklumkan kepada bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, tetapi berasa tidak selesa memberitahunya mengenai situasi itu.

“Pada peringkat awal sebagai ahli lembaga pengarah, saya tidak selesa dengan kiriman wang pengurusan (sebanyak AS$700 juta kepada Good Star Ltd) dan itulah pencetus yang mendorong saya meletak jawatan. Saya malah mahu lmeletakkan jawatan serta-merta.

“Saya tidak selesa berjumpa dan memberitahu PM pada mulanya. Ia seperti berkata saya mempunyai syak wasangka tentang anda.

“Saya sepatutnya melakukan perkara itu. Walaupun beliau PM atau tidak, saya patut melakukannya. Saya sepatutnya berani. Saya sepatutnya mengambil risiko,” kata Bakke.

Bakke berkata demikian ketika menjawab soalan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram yang bertanya mengapa beliau tidak membuat aduan kepada Kementerian Kewangan berhubung penyelewengan semasa meletak jawatan.

Bakke yang berusia 68 tahun berkata dalam keterangan di mahkamah sebelum ini yang beliau mahu meletak jawatan kerana cara pengurusan 1MDB membuat transaksi AS$700 juta kepada Good Star Ltd walaupun ada lembaga pengarah yang tidak bersetuju.

Good Star adalah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, dan dianggap sebagai dalang skandal 1MDB.

Bakke, bersama ahli lembaga pengarah Azlan Mohd Zainol, meletak jawatan sebagai protes terhadap pembayaran wang itu pada 2009.

Peguam Najib Shafee Abdullah, semasa soal balas hari ini, bertanya Bakke jika beliau mengambil “jalan mudah” dengan meletak jawatan dan bukannya menangani kontroversi.

Bakke tidak bersetuju dengan kenyataan Shafee.

Shafee kemudian memberitahu Bakke yang beliau boleh memberikan laporan kepada Najib untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Bakke menjawab boleh melakukannya, tetapi menambah tanggungjawab itu bukan terletak di bahunya semata-mata tetapi juga orang lain dalam lembaga pengarah.

Bakke dibebaskan dari kandang saksi, dan perbicaraan akan diteruskan pada 7 Jun.

Najib dibicarakan kerana menyalahgunakan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau berdepan 25 pertuduhan - empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram - atas kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013. – 19 Mei, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen