Ahli Parlimen Kepong gesa kerajaan mansuh semua AP


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa kerajaan memansuhkan AP bagi semua barangan import lain, termasuk kenderaan bermotor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2022.

PUTRAJAYA sepatutnya memansuhkan semua permit import (AP) bagi menyediakan peluang sama rata kepada semua pemain industri, kata Lim Lip Eng hari ini.

Ahli Parlimen Kepong itu berkata keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memansuhkan lesen AP bukan hanya meliputi barangan makanan, tetapi semua barangan import lain, termasuk kenderaan bermotor.

“Pemansudhan AP untuk makanan, terutamanya semasa pandemik Covid-19 tepat pada masanya kerana ini akan menurunkan harga makanan yang semakin meningkat.

“Tetapi kenapa hanya mansuhkan AP untuk makanan? Kerajaan perlu menyingkirkan semua AP terutamanya untuk kenderaan bermotor, kerana ini juga akan mengurangkan birokrasi, yang akhirnya membawa kepada peluang untuk rasuah, dan ini mengakibatkan kenaikan kos barang import,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mengenakan AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya ke arah memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi.

Lim berkata sudah terlalu lama pemegang AP menikmati keistimewaan mereka.

Beliau berkata daripada memberi manfaat kepada rakyat, dasar itu hanya menguntungkan dan memperkaya individu tertentu yang mempunyai hubungan baik, dengan mengorbankan pengguna.

“Dengan memperkenalkan persaingan dalam pasaran terbuka, ini akan membantu mengurangkan kos barangan import.

“Pada masa sama, usahawan tempatan akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk membangunkan daya saing global mereka dan menjadi pemain utama dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

Lim berkata sekiranya kerajaan serius membantu industri berkembang dan membantu negara mengatasi kemelesetan ekonomi akibat pandemik, beliau mencadangkan pengeluar tempatan diberi insentif khas untuk berinovasi dan menaik taraf teknologi serta kemudahan pengeluaran mereka supaya mereka adalah setanding dengan pengeluar lain dari seluruh dunia.

Beliau berkata tanpa langkah ini, pemansuhan AP semata-mata untuk bahan makanan import tidak memadai dalam memerangi inflasi. – 19 Mei, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen