PERTUBUHAN Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung serta-merta badan persijilan halal Australia, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) sehingga siasatan berkenaan isu integriti halal dikeluarkan mereka diselesaikan.
Presiden Pekemas Faizan Mohd Nor berkata ia berikutan isu berkaitan daging halal yang dibangkitkan pertubuhan mendedahkan berlaku kelemahan dalam pengurusan badan persijilan halal tersebut.
“Kami menuntut penggantungan serta-merta badan halal SICHMA sehingga siasatan terperinci selesai dijalankan.
“Jadi apabila terbukti Thomas Food International (TFI) Lobethal ini melanggar prosedur operasi standard (SOP) berapa banyak lagi loji sembelihan di bawah mereka yang melanggar SOP?” kata Faizan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.
Permas juga mendakwa terdapat salah laku oleh kakitangan atasan Jakim yang bersekongkol dalam pelanggaran SOP penyembelihan sehingga menimbulkan keraguan terhadap status halal daging.
Pertubuhan itu turut mendedahkan beberapa dokumen dan rakaman audio yang dakwanya merupakan dalang yang terlibat dalam pelanggaran SOP penyembelihan tersebut.
“(Pekemas meminta) siasatan penuh terhadap pegawai atasan Jakim yang terlibat secara langsung dengan SICHMA dan sekutunya dapat dijalankan serta-merta dengan telus kerana ini melibatkan integriti halal dan masyarakat Islam Malaysia,” kata Faizan.
Pekemas turut melampirkan beberapa akuan bersumpah (SD) daripada individu yang didakwa bekerja di loji penyembelihan mengakui berlaku pelanggaran SOP penyembelihan di loji sembelihan berpangkalan di Australia itu.
Pendedahan Pekemas berkaitan integriti halal yang meragukan itu dibuat oleh seorang pemberi maklumat yang dikenali sebagai “Abdullah” yang berada di Australia.
Pendedahan rakaman video menunjukkan berlaku pelanggaran protokol termasuk beberapa ekor biri-biri yang direndam sehingga lemas di dalam gumpalan darah sebelum disembelih melalui kaedah sembelihan yang mematuhi kaedah sembelihan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sebelum ini dilapor berkata Jakim sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.
Selain TFI, terdapat 15 lagi loji sembelihan di Australia.
Jakim dalam satu kenyataan pada 14 April berkata badan berkenaan sudah mendapatkan penjelasan SICHMA dan mendapati pusat sembelihan berkenaan mematuhi keperluan standard penyembelihan halal di negara ini.
SICHMA turut menafikan dakwaan mereka tidak mampu menyelia dan membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka. – 18 Mei, 2022.
Komen