POLIS melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kertas siasatan kes itu juga dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya(TPR) untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan kes itu selesai dan polis rekodkan keterangan pemandu kereta tersebut yang juga anak kepada seorang ahli Parlimen. Lelaki berusia 20-an berkenaan hadir memberi keterangan pada 9 Mei lepas dan kami sedang tunggu arahan selanjutnya dari TPR,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, polis memaklumkan kes itu turut disiasat menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.
Dua anggota trafik itu telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes tersebut selesai sepenuhnya.
Menerusi klip video itu yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan didakwa seorang anak ahli Parlimen pada 7 Mei lepas.
Paparan video berkenaan mendapat kecaman warga net yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang. – Bernama, 18 Mei, 2022.
Komen