Wan Zawawi Ibrahim angkat suara orang terbenam


Faisal Tehrani

BANYAK tahun dahulu, apabila masyarakat kita baru (atau masih) diselubungi kegerunan dan melakukan pemomokan terhadap pesakit AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome), Allahyarham Profesor Dr Wan Zawawi Ibrahim selaku penyunting buku “Suara-Suara Terpendam: Pengalaman Sebenar AIDS di Malaysia” (1999) menulis begini: Sebaliknya, suara-suara dari mereka yang lain “orang yang hidup dengan AIDS dan “care givers” mahupun komuniti yang terbabit, dan juga organisasi atau pergerakan yang menggerakkan perjuangan dan kecenderungan mereka” terus terpendam.

Wan Zawawi bersama-sama Majlis Aids Malaysia ketika itu berhasrat untuk memberikan mereka suara, kerana wacana orang yang terpendam menurut Allahyarham sangat penting. 

Wan Zawawi menambah, “inilah suara-suara mereka yang ditafsir setiap hari; mereka yang tidak homogen tetapi mewakili nada orang lain yang selama in dibezakan; mereka yang meluahkan pelbagai sentimen dan perspektif; mereka bukannya pasif tetapi berterusan menimbangi dan menimbang-semula hakikat baru tentang diri mereka atau mengkonstruk-semula agenda budaya alternatif, wacana yang dipendam tentang AIDS. Dengan demikian, suara-suara terpendam mereka adalah politikal dan merupakan simbol penentangan.”

Wan Zawawi sudah melihat teriak dan rintih emosi pesakit AIDS sebagai satu yang sangat manusiawi, dan bukannya sebagai satu pandangan sipi kebencian, kejengkelan dan stigmatisasi yang berat sebelah oleh sebab neraca umum masyarakat tatkala itu adalah ‘pesakit AIDS’ dihukum oleh Tuhan kerana kekejian dan kefasadan mereka.

Sikap Wan Zawawi terhadap orang kecil dan terpinggir ini dapat terus ditelah apabila beliau mengarang prakata untuk kumpulan cerpen Akiya, seorang sasterawan Orang Asli berjudul ‘Tuntut’ (2001). 

Jika Wan Zawawi melihat komuniti penderita AIDS sebagai suara politikal yang ingin memberi ujaran balas, dalam ruang lingkup kajian Orang Asli, Wan Zawawi adalah seorang sarjana yang terus-terusan mencabar mitos Orang Asli nomad. 

Dalam erti kata lain, seperti usaha Syed Hussein Alatas untuk menidakkan mitos peribumi malas, Wan Zawawi cuba menghujahkan perihal Orang Asli yang sering dituduh antipembangunan lantaran suka berpindah-randah.

Dalam kumpulan cerpen ‘Tuntut’ oleh Akiya itu, Wan Zawawi seorang antropologis menulis mengenai nasib Orang Asli Temuan di Bangi yang mengalami gangguan habitat ekoran terusir dek pembinaan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Wan Zawawi menulis panjang lebar begini: “…renungilah pengalaman sebuah komuniti kecil suku kaum Temuan yang pernah tinggal di Kampung Bukit Tunggul, Selangor. Sejak tahun 1950 lagi Mamak Batin dengan anak buahnya seramai 35 kelompok isi rumah sudah berusaha untuk mengejar cara hidup perkampungan yang kekal. Pada tahun itu, mereka mencuba berjinak dengan berkebun getah serta menanam durian dan cempedak di sebuah kawasan di Bangi, setiap isi rumah mengendalikan sebanyak lapan ekar tanah. 

“Namun pada tahun 1974, mereka terpaksa akur kepada arahan pihak berkuasa supaya berpindah ke suatu kawasan yang lain oleh sebab tempat itu dipilih sebagai tapak Universiti Kebangsaan Malaysia. Berhijrahlah pula mereka ke suatu kawasan yang berdekatan, sebuah tanah kerajaan seluas 350 ekar, di Kampung Bukit Tunggul, di mana mereka sekali lagi mencuba memulakan hidup baharu mereka. 

“Dengan bantuan RISDA mereka menanam getah, jagung, cili, terung dan tanaman dusun seperti durian, rambutan dan cempedak. Selepas 20 tahun di situ, mereka berjaya mengusahakan sebahagian daripada kawasan itu menjadi satu mini estet, setiap keluarga mendapat tiga hingga lima ekar bahagian dan hasil sebanyak RM300 sebulan. 

“Nasib yang kurang baik senantiasa menghambat mereka apabila pada tahun 1994, mereka diberitahu bahawa mereka perlu dipindahkan lagi kerana kawasan tersebut akan dijadikan satu kelab/ resort golf eksklusif - yang kini terkenal dengan nama Bukit Unggul Golf Resort. 

“Mahu tidak mahu, Mamak Batin terpaksa memulakan hidup baharu bersama-sama anak buahnya di kawasan yang baharu pula - di Kampung Kercau, Semenyih. Rintihannya yang saya rakamkan berikut, bukan sahaja menggambarkan kekecewaannya tetapi sekali gus jelas memperlihatkan bahawa imej Orang Asli yang direpresentasi oleh sifat “berpindah-randah” itu ialah satu mitos semata-mata.”

Nasib Orang Asli yang menjadi ‘mangsa’ gangguan lingkungan di Bangi ini kurang diketahui ramai. Pun, Wan Zawawi mengangkat suara mereka yang terbenam itu. 

Selain memberi perhatian kepada Orang Asli di Semenanjung, Wan Zawawi ikut memberi perhatian kepada orang natif seperti Penan di Sarawak, khusus ketika mengajar di negeri itu. 

Salah satu fokus dan minat Wan Zawawi adalah pada bentuk penceritaan lisan Penan yang dinamai sebagai tosok, yang disampaikan oleh Penghulu di Long Lamai. Beliau merekodkan seberapa banyak mungkin naratif ini dengan mendekati masyarakat Penan di situ.

Wan Zawawi juga berusaha memberi suara kepada masyarakat tani di Trengganu dalam kajian akademik yang lain berjudul ’The Malay labourer: by the Window of Capitalism’ (1998) terbitan ISEAS-Yusuf Ishak, Singapura. Beliau melihat perubahan serta sikap kelas tani dan peladang berdepan dengan kapitalisme dari tahun-tahun 1960an. Wan Zawawi adalah antara yang rajin memahami bagaimana kumpulan tani ini tumbuh sebagai sebuah kelas dalam masyarakat.

Selain dikenali sebagai seorang antropologis yang berwibawa, Wan Zawawi juga dipandang sebagai seorang etnomuzikologis. Salah satu album beliau yang pernah direkodkan ialah ‘Dayung’ (1996) terbitan BMG Malaysia. Antara lagu beliau yang sering berkumandang satu masa dahulu ialah ‘Pengembara Cinta, ‘Dayung’ dan ‘Mencari Amerika’. 

Beliau memberikan gaya luar biasa kacukan lagu folk yang dipengaruhi oleh latar kajian beliau terhadap Orang Asli dan minat beliau terhadap blues ala Amerika ketika menuntut di sana. 

Dalam muzik juga, beliau pernah memberi perhatian (dalam bentuk penyelidikan ilmiah, dengan fenomena rock kapak, satu gejala muzik yang pernah dianggap sebagai budaya kuning ketika tahuin 1980an. Di tangan Wan Zawawi, rock kapak diberi nuansa baharu dan terlihat bermaruah.

Pada usia 75 tahun, Wan Zawawi masih aktif sebagai ahli akademik sehingga minggu lalu. Saya ikut membentang kertas bersama-sama beliau dalam sebuah seminar anjuran National University Singapore yang diusahakan oleh Profesor Dr Syed Farid Alatas. 

Berita pemergian Allahyarham sangat mengejutkan setelah dimaklumkan oleh isterinya, Noorshah Mohd Salleh, di aplikasi jaringan sosial kumpulan ahli akademik. Allahyarham diberitahu menghembuskan nafas terakhir sekitar 6.47 pagi di kediamannya dekat Seksyen 11, Petaling Jaya.

Sebelum pandemik (lebih dua tahun lalu) saya ada bertemu Allahyarham di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Untuk rekod, Wan Zawawi pernah menjawat posisi Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) lama dahulu. 

Dalam pertemuan ringkas dengan Allahyarham beliau memesan supaya saya memberi tumpuan kepada isu-isu sektarianisme ‘Sunni-Syiah’ setelah dilantik sebagai Bersekutu untuk sebuah projek akademik ‘Global Shia Diaspora’ di Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. 

Wan Zawawi menganjurkan saya memanfaatkan posisi itu untuk menjelaskan suara orang terbenam.

Saya menerima nasihat beliau itu dan mengerjakan sungguh-sungguh sepanjang pandemik sebuah kajian akademik dengan judul ‘Muslim Sectarianism Versus the De-escalation of Sectarianism in Malaysia’ (2022), yang bakal diterbitkan oleh ISEAAS-Yusuf Ishak, Singapura bulan hadapan.

Terima kasih Profesor Wan Zawawi atas sikap beranimu, atas ilmumu, atas nasihatmu, dan atas senimu. Semoga terus tersebar harumnya. Pasti ada yang memanfaatkan. 

Selamat berangkat ke negeri abadi. Al Fatihah. – 17 Mei, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen