KBS mesti bantu pasukan karate harum nama Malaysia, kata Kula


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen DAP M Kula Segaran berkata kerajaan perlu bantu pasukan karate negara yang menang 6 pingat di kejohanan antarabangsa, yang malah kini masih mencari dana untuk menjelaskan hutang tertunggak perjalanan dan penginapan mereka ke Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa, di Lyon, Perancis, awal bulan ini. – Gambar Instagram, 17 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) harus menyediakan beberapa bentuk bantuan kewangan kepada pasukan karate yang memenangi enam pingat, termasuk yang dipercayai emas pertama Malaysia pada kejohanan antarabangsa, kata Ahli Parlimen DAP M Kula Segaran.

Bekas menteri sumber manusia itu berkata kerajaan perlu membantu Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM), kerana mereka masih mencari dana untuk menjelaskan hutang tertunggak mereka.

“Adil apabila kerajaan beri penghormatan kepada atlet ini atas mentaliti mahu menang, keazaman dan kecemerlangan mereka. KBS perlu segera cari cara tolong mereka capai tahap yang lebih tinggi.

“Malah, mereka perlu langsaikan perbelanjaan mereka untuk kejohanan di Perancis selepas kejayaan mereka yang menakjubkan,” kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan IOSSKAM masih memerlukan sekitar RM23,000 untuk menjelaskan baki hutang yang ditanggung bagi perjalanan dan penyertaan dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa, di Lyon, Perancis, awal bulan ini.
 
Pasukan karate itu ke Paris secara kredit dengan bantuan agensi pelancongan tempatan, Holara Holiday Haven Sdn Bhd, yang membayar lebih awal untuk penerbangan mereka di bawah tawaran “terbang dahulu, bayar kemudian”.
 
Jurucakap IOSSKAM Thivashini Krish Dhev Nair berkata kos keseluruhan RM62,000 termasuk yuran kejohanan, tiket penerbangan, penginapan, makan dan pelbagai keperluan lain.

“Kami berjaya mengumpul kira-kira RM18,000 pada mulanya melalui sumbangan dan orang ramai setakat ini menyumbang kira-kira RM21,000.

“Sehingga 15 Mei, kami masih memerlukan kira-kira RM23,000 untuk menjelaskan semua bil dan pembayaran yang tertunggak,” kata Thivashini, yang merupakan ketua perhubungan awam persatuan itu. – 17 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen