Dr Wan Zawawi Ibrahim meninggal dunia


Budayawan dan pemikir Dr Wan Zawawi Ibrahim meninggal dunia pagi tadi pada umur 75 tahun di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor. – Gambar Facebook, 17 Mei, 2022.

AHLI antropologi, budayawan dan aktivis sosial Dr Wan Zawawi Ibrahim meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya pagi ini selepas rebah ketika bersiap untuk menunaikan solat Subuh, maklum ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Umurnya 75 tahun.

“Baru semalam kami menonton televisyen bersama dan kami berbincang untuk membawa arwah menjalani rawatan susulan jantung. Namun, saya reda dan percaya bahawa ajal arwah sudah sampai,” kata isterinya Noorshah Mohd Salleh, seperti dipetik Astro Awani.

Jenazah akan diuruskan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumi selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sementara itu, anak Allahyarham, Rendra Zawawi yang menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat memaklumkan beliau akan pulang ke Malaysia hari ini tetapi tidak sempat untuk pengkebumian.

“Mohon berdoa untuknya,” tulisnya di Facebook.

Dalam dunia akademik, Wan Zawawi banyak menjalankan kajian mengenai golongan terpinggir termasuk masyarakat Orang Asli dan kelas pekerja.

Bukunya The Malay Labourer: By the Window of Capitalisme yang pertama kali terbit pada 1998 diterbitkan semula baru-baru ini.

Sebagai budayawan, Wan Zawawi mencipta lagu dan pernah menerbitkan album berjudul Dayung pada 1996. Album itu menampilkan lagu-lagu puisi dengan gabungan elemen muzik daripada makyong dan suara Orang Asli.

Wan Zawawi juga mencipta dan menulis lirik lagu popular Ramli Sarip bertajuk Perjalanan Hidup. Beliau juga penulis lirik lagu Nigina nyanyian Search dan Tari Cinta Rimba Mistikal oleh M Nasir. – 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen