AHLI Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman bukan ahli politik terakhir yang akan dilantik sebagai duta, kata penganalisis politik.
Pelantikan sebagai duta adalah amalan biasa kerajaan untuk memberi ganjaran kepada ahli politik walaupun ada orang lain yang lebih layak sebagai diplomat, kata mereka.
Amalan ini juga bukan baru, malah sudah berlaku sejak 1970-an.
Penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania berkata pelantikan Tajuddin bukan mengejutkan kerana sebelum ini pun sejak berpuluh-puluh tahun Malaysia melantik ahli politik “setengah masak” sebagai duta.
“Biasanya pelantikan ini ganjaran kepada ahli politik yang sedia letak jawatan atau menarik diri atau kalah pilihan raya,” kata China kepada The Malaysian Insight.
“Ada beberapa pelantikan politik sebagai duta besar ke Indonesia, sama seperti duta ke Washington DC. Ini pelantikan politik Bagi saya, ini tak ada apa-apa.
“Saya kira orang menyerang (pelantikannya) kerana ini era media sosial dan kerana kontroversi yang ditimbulkannya sebelum ini.”
Jelas Chin, amalan ini akan berterusan tidak kira pihak mana pun yang jadi kerajaan.
“Sudah tentu kita sebagai rakyat berharap kerajaan akan lebih waras, melantik seseorang yang lebih diterima kelayakannya, tetapi ia sesuatu yang mustahil untuk diharapkan.
“Kalau Pakatan Harapan jadi kerajaan pun pada masa akan datang, saya yakin lambat laun mereka pun akan memberi ganjaran kepada ahli politik yang aneh-aneh jadi duta. Mungkin bukan negara yang utama seperti Indonesia tetapi saya yakin mereka akan buat,” tambahnya.
Menurut Chin, Tajuddin sepatutnya letak jawatan ahli parlimen selepas dilantik duta tetapi beliau tidak yakin itu akan berlaku.
Semalam, Tajuddin mengesahkan pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia dan pelantikannya diterima oleh kerajaan republik itu. Beliau menggantikan bekas diplomat Zainal Abidin Bakar yang bersara April 2021.
Bekas diplomat Noor Farida Mohd Ariffin yang pernah berkhidmat di Belanda menyifatkan pelantikan Tajuddin sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia bagaikan “musibah” kerana watak kontroversinya selama ini.
Ia juga mengecewakan pegawai diplomatik kerana menyekat peluang mereka maju dalam kerjaya, katanya.
Tajuddin dilantik ketika republik itu akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20 hujung tahun ini dan seterusnya mempengerusikan Asean tahun depan.
Pada Mei 2021, Tajuddin dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad tidak lama selepas membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif susulan pelanggaran dua tren LRT di Kuala Lumpur.
Beliau juga dua kali dikenakan kompaun kerana melanggar ketetapan pencegahan penularan Covid-19 apabila tidak mengenakan pelitup muka.
Naib Presiden Muda Dr. Thanussha F. Xavier berkata pihaknya kecewa dengan pelantikan Tajuddin, terutama selepas parti itu mendedahkan dakwaan penyelewengan melibatkan kepentingan perniagaan keluarganya.
Katanya, sebagai sekutu penting dalam kepentingan serantau dan juga ekonomi, Malaysia wajar diwakili oleh “individu yang berintegriti dan diplomatik dan yang berkebolehan” mewakili kepentingan negara.
“Sangat jelas bahawa individu tersebut bukanlah Tajuddin Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penganalisis Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura juga berpendapat pelantikan ahli politik sebagai duta adalah amalan biasa. Bagaimanapun mereka yang dilantik sebelum ini mempunyai kredibiliti tinggi.
“(Bekas timbalan perdana menteri) Musa Hitam dilantik sebagai wakil tetap di Pertubuhan Bangsa Bersatu, (bekas menteri) Jamaluddin Jarjis juga jadi duta ke Amerika Syarikat.
“Tetapi mereka secara keseluruhannya dianggap terlebih layak untuk tugas itu, malah berjaya mengukuhkan hubungan Malaysia.
“Dengan cara Tajuddin mengendalikan isu pelanggaran LRT dulu, kita wajar berharap hubungan Malaysia dan Indonesia boleh kekal baik sepanjang perkhidmatannya,” kata Oh.
Musa dilantik pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi PBB pada 1995, sementara Jamaluddin menjadi duta besar ke Amerika Syarikat antara 2009 dan 2012.
Susulan tempoh perkhidmatannya, beliau juga dilantik duta khas Malaysia ke negara itu. Presiden Amerika Barack Obama kemudian melawat Malaysia pada 2014, selepas presiden Lyndon B Johnson 48 tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia berpendapat Tajuddin tidak layak jadi diplomat.
“Rakam jejak penuh kontroversi dengan kenyataan tidak sensitif dan lucah di Parlimen dan semasa jadi pengerusi Prasarana,” katanya.
Jelas Tunku Mohar, walaupun pelantikan itu tidak salah, kerajaan wajar menghentikan amalan melantik ahli politik sebagai duta.
“Ada diplomat lain yang lebih terlatih dan berhemah yang senang-senang jauh lebih layak daripada Tajuddin,” tambahnya. – 17 Mei, 2022.
Komen