9 juta maut akibat pencemaran pada 2019, kata kajian


Peningkatan kes kematian disebabkan udara yang tercemar dan jumlah keracunan plumbum semakin serius, kata pakar kesihatan. – Gambar EPA, 18 Mei, 2022.

SEMBILAN juta orang mati awal akibat pencemaran pada 2019, menurut laporan yang diterbitkan jurnal perubatan hari ini.

Peningkatan kes kematian disebabkan udara yang tercemar dan jumlah keracunan plumbum semakin serius, kata pakar kesihatan.

Pencemaran air, udara dan tanah tidak menyebabkan kematian serta-merta tetapi membawa kepada penyakit jantung, barah, masalah pernafasan serta penyakit serius lain.

Laporan jurnal perubatan The Lancet Commission menyebut kesan pencemaran terhadap kesihatan global jauh lebih tinggi berbanding kesan akibat peperangan, keganasan, malaria, HIV, batuk kering, dadah dan alkohol.

Pencemaran menjejas kelestarian alam sekitar dan kesihatan manusia, tambahnya.

Menurut laporan itu, secara amnya pencemaran udara menyebabkan 6.7 juta kematian di seluruh dunia pada 2019, berkait dengan perubahan iklim yang berpunca daripada pembakaran bahan bakar fosil dan biofuel.

Secara keseluruhannya, satu daripada enam kematian awal atau sembilan juta adalah disebabkan pencemaran, jumlahnya tidak berubah sejak kajian terakhir yang dijalankan pada 2015.

Laporan seterusnya menyebut kes kematian awal kian meningkat di selatan dan timur Asia, akibat pencemaran udara dan kimia berkait industri.

Pencemaran udara mengakibatkan 4.5 juta kematian pada 2019, berbanding 4.2 juta pada 2015, katanya, manakala 2.9 juta direkodkan pada 2000. – AFP, 18 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen