AS dibanjiri senjata api, kata Jabatan Kehakiman


Laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang terbaharu menunjukkan rakyat Amerika gemar dengan senapang serangan separa automatik yang dilihat dalam banyak kes tembakan besar-besaran, malah mereka juga turut membeli secara besar-besaran pistol separa automatik yang lebih murah, mudah dan tepat. – Gambar EPA, 17 Mei, 2022.

PEMBUAT senjata api Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan lebih 139 juta senjata api untuk pasaran komersial sepanjang dua dekad dari 2000, termasuk 11.3 juta pada 2020 sahaja, menurut laporan terbaharu kerajaan.

Dalam tempoh sama, sebanyak 71 juta lagi senjata api diimport berbanding hanya 7.5 juta yang dieksport, sekali gus menunjukkan bagaimana AS dipenuhi senjata peribadi yang telah mencetuskan lonjakan keganasan, pembunuhan dan bunuh diri, menurut laporan Jabatan Kehakiman.

Laporan itu menunjukkan walaupun rakyat Amerika gemar dengan senapang serangan separa automatik yang dilihat dalam banyak kes tembakan besar-besaran, mereka telah membeli secara besar-besaran pistol 9mm separa automatik yang semakin murah, mudah digunakan dan tepat seperti yang digunakan kebanyakan polis.

Malah, laporan itu menunjukkan, pihak berkuasa menghadapi lonjakan dalam “senjata hantu” tidak berdaftar yang dibuat di rumah dengan bahagian yang boleh dibeli dalam talian dan dihasilkan dengan pencetak 3D.

“Kami hanya boleh tangani peningkatan keganasan semasa jika kami ada maklumat terbaik yang tersedia dan menggunakan alat serta penyelidikan yang paling berkesan untuk meningkatkan usaha kami,” kata Timbalan Peguam Negara Lisa Monaco.

“Laporan ini merupakan langkah penting ke arah itu. Jabatan akan terus mengumpul data yang diperlukan untuk menyesuaikan pendekatan kami terhadap pemacu keganasan senjata api yang paling ketara dan menghalang penembak.”

Laporan itu dikeluarkan selepas hujung minggu yang mengejutkan menunjukkan bagaimana lebihan besar senjata api telah memberi kesan kepada masyarakat AS. – AFP, 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen