Tidak pasti Najib baca SMS bekas pengerusi 1MDB atau tidak


Peguam Najib Razak berkata tidak dapat dipastikan sama ada bekas PM itu baca atau tidak, SMS dihantar bekas pengerusi 1MDB berkenaan penyelewengan syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sama ada Najib Razak membaca atau tidak, pesanan SMS yang dihantar bekas pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Bakke Salleh berhubung penyelewengan syarikat itu, tidak dapat dipastikan.

Peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan malah tidak mempunyai salinan SMS yang dimaksudkan.

Peguam itu berkata demikian semasa menyoal saksi pendakwaan ke-15, Bakke dalam perbicaraan mengenai penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Kita tidak tahu berapa ringkas atau panjang, pesanan SMS yang anda hantar kepada anak guam kami. Kita tidak ada salinan pesanan SMS anda.

Bakke: Saya ingat… Ia pesanan SMS yang panjang. Saya jelaskan mengenai dua pembayaran.

Shafee: Tapi kita tidak tahu sama ada PM (Najib) dapat membaca pesanan SMS itu atau tidak. Ia bukan seperti aplikasi WhatsApp, yakni kita dapat lihat menerusi tanda berwarna biru, yang menunjukkan penerima membaca pesanan.

Sebelum ini dilaporkan AS$1 billion milik 1MDB dimasukkan dalam satu usaha sama dan ia dibayar dalam dua peringkat yang terdiri daripada AS$700 juta dan AS$300 juta.

AS$300 juta disalurkan kepada syarikat usaha sama berkenaan manakala AS$700 juta dibayar kepada sebuah syarikat Good Star Limited, yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Shafee kemudian bertanya saksi kemungkinan Najib diperdaya (misled) oleh pengurusan 1MDB serta Jho Low, dan Bakke menjawab “Ya, mungkin”.

Dalam prosiding sebelum ini Bakke memberi keterangan sebelum menyerahkan surat peletakan jawatannya, beliau menghantar SMS kepada tertuduh untuk memaklumkan beberapa perkara yang diarahkan lembaga pengarah (BOD) kepada pengurusan 1MDB namun tetap tidak dipatuhi.

“Bagaimanapun saya tidak terima sebarang respons dari Najib. Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan salah laku pengurusan kewangan 1MDB, kerana saya andaikan saya lakukan perkara demikian menerusi pesanan SMS kepada Najib.

“Saya harap Najib akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengurusan 1MDB sekiranya dia mengesan sebarang salah laku di pihak mereka.

“Memandangkan kebimbangan saya tidak mendapat perhatian Najib kerana dia tidak membalas SMS saya, saya merasakan dia terlibat, dan ada sesuatu yang tidak kena berlaku tanpa pengetahuan saya. Ini antara sebab utama saya memutuskan meletakkan jawatan,” kata Bakke.

Hari ini mahkamah juga diberitahu Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu yang dihadapi dana kekayaan berdaulat itu tidak menggambarkan apa yang didedahkan Bakke secara keseluruhannya.

Bakke yang kini pengerusi Petronas berkata banyak perkara didedahkan beliau kepada PAC pada ketika itu, tidak dimasukkan dalam laporan berkenaan, yang kemudiannya didedahkan kepada awam.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama, 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen