KERAJAAN Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC) masih lagi berbincang untuk menyelesaikan kes saman yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Syarikat itu diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil.
Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali berkata pihak yang turut terlibat dalam perbincangan itu ialah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Namun, sama ada penyelesaian itu boleh dimuktamadkan hanya boleh ditentukan oleh Kabinet. Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan status penyelesaian,” katanya ketika dihubungi, selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai, hari ini.
Menurut Asliza, sekiranya penyelesaian tersebut gagal dicapai, perbicaraan kes akan bersambung pada 7 November ini dan dijangka suami Shahrizat, Dr Mohamad Salleh Ismail akan memberi keterangan.
Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Januari, 2020 dan seramai tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan, selesai memberi keterangan.
Kerajaan selaku plaintif tunggal menfailkan saman itu menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.
Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal keluarga Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember, 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.
Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari, 2008 hingga 3 Januari, 2011.
Kerajaan mendakwa daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki dana dikeluarkan dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa disalahgunakan.
Dakwa plaintif, dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan, manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.
Kerajaan mendakwa keluarga Salleh menggunakan dana dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman, serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. – Bernama, 17 Mei, 2022.
Komen