AHLI Parlimen Pasir Tajuddin Rahman mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, lapor Malaysiakini.
Awal hari ini, portal berita MalaysiaNow memetik sumber diplomatik mendedahkan pelantikan Tajuddin menerima kelulusan kerajaan Indonesia.
“Memang benar,” kata Tajuddin, seperti dipetik Malaysiakini.
Pengesahan beliau menamatkan spekulasi mengenai pelantikannya yang dilapor media sejak akhir tahun lepas.
Pelantikannya juga mengembalikan pelantikan ahli politik sebagai duta besar ke Indonesia selepas bekas ahli Parlimen Bayan Baru Zahrain Mohamed Hashim, yang dilantik oleh pentadbiran Najib Razak pada 2014.
Zahrain dipanggil pulang selepas Pakatan Harapan menggantikan Barisan Nasional di Putrajaya. Beliau ketika itu diganti oleh diplomat Zainal Abidin Bakar yang sebelum itu duta besar Malaysia ke Sepanyol. Zainal bersara pada April 2021.
Tajuddin, 74, dilantik sebagai wakil kerajaan Malaysia ke Indonesia ketika republik itu akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20 hujung tahun ini dan seterusnya mempengerusikan Asean tahun depan.
Pada Mei 2021, Tajuddin dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad tidak lama selepas membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif susulan pelanggaran dua tren LRT di Kuala Lumpur. – 17 Mei, 2022.
Komen