Perihal puisi di bawah tiang lampu


Pyanhabib Rahman

OKAY. Gua masuk bakul. Bakul yang gua masuk tak mungkin terangkat sendiri tetapi sekurangnya biar rasa “terangkat” bila diagah sesedap rasa. Peduli apa.

Betulkah gua orang pertama yang memulakan tabiat baca puisi di ruang terbuka di bawah tiang lampu Central Market? Ha, betullah, tak ada kemusykilan lagi.

Asal usulnya bagaimana?

Hah, ini penting dan ini fakta, begini: Semasa pihak berkuasa bandar raya anjur pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, beberapa orang pelukis seperti Aris Aziz, Abdul Ghani Ahmad, Salleh Dawam melukis di situ, di hadapan panggung Coliseum. Mereka kumpulan pelukis yang aktif di halaman Wisma Yakin di Jalan Melayu itu dan mereka diberi permit oleh majlis bandar raya.

Pelukis Jalaini Abu Hassan, turut melukis di situ, dia juga ada permit. Jalaini baru habis belajar di ITM dan dia datang ke Anak Alam dan menghuni di situ. Jalaini seorang pelukis yang tekun, dia melukis sepenuh masa. Gua perhati itu.

Waktu yang sama, gua ada buku berkulit kuning (antologi puisi Saraf, reka kulit oleh Jalaini), kumpulan puisi modal sendiri, terbit sendiri dan otak gua berjalan, untuk jual sendiri. Lalu pada satu malam minggu, Jalaini mengajak dan meminta gua jual buku sambil baca puisi di tapak dia melukis.

Bermula malam minggu itu melalaklah gua bersama puisi-puisi di hadapan panggung Coliseum itu. Gua baca puisi, Jalaini melukis – melakar sketsa. Gua jual buku puisi gua RM5 senaskhah. Jalaini jual sketsa dia lakar RM5 sekeping. Laku. Kami belanja makan nasi lauk sedap masak lemak kuning di satu gerai makcik di Medan Bonus, ha!

Di hadapan Coliseum itu, antara orang yang gua bertentang mata dan hulurkan buku untuk ditengok dengan harapan dibeli ialah Misbun Sidek. Tetapi Misbun tak beli buku gua, dia cuma toleh, angkat tangan dan berlalu. Kalaulah buku gua itu dibeli Misbun tentu jadi sejarah: Buku puisi Pyanhabib dibeli Misbun di pasar malam depan Coliseum, yeah!

Baca puisi gua di depan Coliseum itu diberi sedikit liputan berserta gambar oleh Edy Utama, wartawan aktivis budaya dari Sumatera dalam tabloid Pos Kota. “Puisi memberi Pyan makan” itulah tajuknya jika tidak salah.

Cerita seterusnya, pada malam minggu ketiga semasa sedap melalak, gua dihampiri orang majlis bandar raya, gua diminta keluar dari tapak pelukis Jalaini. Gua tak ada permit. Kami pun berbasa-basi dengan orang majlis bandar raya minta timbang rasa tetapi tak jalan, maka gua pun bawa diri.

Esoknya hari minggu, gua jinjit buku-buku puisi gua dalam beg sendeng sekitar 20 naskhah, gua ke Central Market (CM) yang dirasmikan oleh Rafidah Aziz (ada yang berkata Musa Hitam rasmi) sehari sebelum itu. Di sebelah kiri laluan masuk pintu depan di sudut pelukis, celah-celah orang ramai lalu-lalang, gua baca puisi. Sempat juga gua jual buku sebelum dihampiri pengawal CM, gua dilarang membaca puisi dalam bangunan.

Gua berkalih keluar lalu berdiri di atas pasu bunga besar konkrit empat segi di sisi pintu masuk Central Market. (Dengan sengaja gua sebut “Central Market” iaitu nama asalnya. Hari ini gua berasa tidak berguna menyebut Pasar Seni atau Pasar Budaya. Kenapa? Menteri jaga budaya patut lebih tahu).

Di sisi pintu masuk, di atas pasu bunga konkrit empat segi setinggi paras pinggang itulah gua berdiri membacakan puisi sambil menjulang tinggi buku puisi gua berkulit kuning itu. Sewaktu sedap melalak itulah gua ternampak kartunis Imuda yang waktu itu dikenal kerana wataknya sebagai Budin dalam drama bersiri TV, Syyy… .

Imuda merupakan sahabat yang pertama menemani gua baca puisi di CM. Sebelum keseronokan membaca puisi di bawah tiang lampu itu membiak dan tidak fasal-fasal ramai jadi “penyair” dengan meminjam dan menyandar pada tiang lampu Central Market.

Gua memang syok baca puisi. Benda ini gua sudah lakukan sejak 1975. Gua tidak syok semata-mata sebaliknya gua membaca sambil menjual buku puisi sendiri. Itu kamu mesti tahu. Ya, syok gua di situ. Puisi memberi gua makan. Dan gua masih menjual puisi untuk membeli beras.

Tahun 1976 gua aktif membaca puisi di tengah khalayak siswa di semua universiti dan maktab perguruan di Malaysia, sama ada membaca sebagai tetamu undangan atau membaca secara solo sambil bercerita – yang hari ini dijenamakan sebagai monolog. Dengan bangganya gua mengaku gua sudah lakukan dengan syoknya.

Puisi solo pertama gua iaitu “Pyanhabib: Puisi & Cerita” berlangsung dua malam untuk dua jam berturut di Panggung Drama Jalan Bandar pada 1982 sempena Pesta Teater Generasi Ketiga. Sejak zaman gua puisi sudah pun dibawa masuk auditorium, hotel malah dibawa berlegar-legar dalam pejabat menteri pun.

Ada menteri buat baca puisi waktu makan tengah hari? Ya, ada.

Sedapkah makan tengah hari sambil dijamu puisi? Sedaplah kot.

Gua pernah dua kali berturut, celik biji mata, selepas gosok gigi terus menonong baca puisi depan menteri waktu minum pagi.

Sedapkah minum pagi sambil berkudap-kudapan? Sedaplah, kot!

Sebut bab berkudap-kudapan, kamu patut tahu, zaman gua berseluar lilit pinggang 25 inci, gua dan kawan sealiran memang sentiasa rajin menghadiri acara puisi – juga pameran lukisan – kerana, itu waktu kecemasan kami yang kadang-kadang kritikal.

Dengan sedikit daya usaha dan kerajinan berjalan kaki atau berpaut pada bas mini, rezeki kami ada di situ walaupun barangkali hanya sempat berkudapan sebiji dua karipap atau sepiring mihun goreng.

Siapa kata puisi tidak boleh beri makan? – 16 Februari, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Pyanhabib Rahman aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian. Beliau juga terlibat dalam kerja-kerja teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen