Najib tak semak penyelewengan, kata bekas CFO 1MDB


Noel Achariam

Najib tidak pernah menegur atas sebarang tindakan saya berhubung 1MDB, dan beliau juga tidak memeriksa penyelewengan dana itu, kata bekas CFO 1MDB Azmi Tahir. – Gambar AFP, 17 Mei 2022.

BEKAS ketua pegawai kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Najib Razak tidak mempersoalkan penyelewengan dalam firma pelaburan negeri itu. 

Najib juga tidak menegurnya atas sebarang tindakannya berhubung 1MDB, kata Azmi semasa perbicaraan bekas perdana menteri itu kerana menyalahgunakan lebih RM2 bilion daripada dana itu.

Saksi itu disoal siasat oleh Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram yang mahu beliau menjelaskan sama ada Najib pernah bertanya kepadanya tentang penyelewengan dalam 1MDB yang dipantau Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihatnya.

Sri Ram memulakan pemeriksaannya dengan bertanya kepada Azmi sama ada beliau menerima sebarang wang yang diseleweng daripada 1MDB.

Sri Ram: Adakah anda memperoleh sebarang wang daripada 1MDB? Berkaitan dengan semua caj, adakah anda memperoleh sebarang faedah kewangan?

Azmi menjawab beliau tidak mendapat satu sen pun wang. 

Beliau kemudian ditunjukkan beberapa siri transaksi bank berkenaan dakwaan berbilion dana 1MDB yang diseleweng ke akaun bank Najib.

Sri Ram kemudian menyoal Azmi berkenaan AS$681 juta dana 1MDB yang masuk ke dalam akaun Najib antara 21 Mac dan 10 April 2013.

Beliau juga bertanya mengenai dana RM45 juta daripada 1MDB yang masuk ke akaun Najib antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014.

“Adakah anda sedar dia (Najib) menyeleweng wang daripada 1MDB?” tanya Sri Ram.

Azmi berkata beliau tidak sedar dan tidak tahu sama ada Najib menerima sebarang dana. 

Sri Ram kemudian bertanya kepada Azmi sama ada beliau secara peribadi memperoleh sebarang wang, dan sama ada beliau bersubahat dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho yang dikatakan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB, untuk menyeleweng wang daripada dana itu.

Azmi menafikan dakwaan itu.

Azmi adalah saksi ke-12 dalam perbicaraan terhadap Najib kerana menyeleweng RM2.28 bilion dana 1MDB.

Najib berdepan 25 pertuduhan - empat kerana salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram - untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013. – 17 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen