Kematian buka pintu kasih sayang di pusat jagaan HIV


Melati A. Jalil

The Malaysian Insight terus menampilkan rakyat Malaysia biasa yang menjadi negara ini lebih baik. Fokus minggu ini ialah Elisha Kor Krishnan, seorang wanita yang membuka rumahnya sendiri untuk pesakit HIV.

RISTA Nur Marsitah Abdullah sedang hamil tujuh pulan pada 2007 ketika mengetahui dia positif HIV.

Suri rumah berusia 37 tahun yang jarang keluar rumah itu berkata dia tidak percaya dengan keadaan itu dan merasakan hidupnya sudah berakhir.

“Saya betul-betul sedih pada masa itu. Saya tidak boleh terima kenapa saya terkena, dan selepas saya melahirkan anak lelaki saya pun, saya sangat tertekan.

“Saya tidak mahu keluar rumah pun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau membuat keputusan untuk terbabit dalam program yang disediakan untuk komuniti HIV, di mana ia memberikan ia kekuatan untuk meneruskan hidup.

Hari ini, Rista kini pekerja outreach untuk Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM), satu organisasi bukan kerajaan untuk wanita HIV.

Rista berkata selain menjaga anak lelakinya yang HIV negatif, tujuan hidupnya kini ialah hendak membantu orang lain sepertinya.

Tetapi permulaan PKKUM bukan kerana meraikan kehidupan, atau harapan. Malah sebenarnya, ia bermula dengan kejutan dan realiti akibat kematian seseorang, bagi pengasasnya Elisha Kor Krishnan sehingga mendorong beliau menubuhkan satu pusat kebajikan.

Hampir 14 tahun lalu, seorang sukarelawan Rumah Wake pada masa itu – sebuah organisasi menyokong individu dengan HIV – menemani seorang pesakit bernama Nora di hospital untuk menjalani rawatan.

“Saya beritahu Nora untuk bertahan kerana kami hendak jumpa doktor. Bila saya angkat tangannya, dia membalas dengan memegang tangan saya, dan dia meninggal dunia selepas itu,” kata Elisha kepada The Malaysian Insight.

Katanya, itu pengalaman pertamanya melihat orang meninggal dunia, dan ia meninggalkan kesan mendalam terhadapnya.

“Saya masih muda pada masa itu, mungkin 23 tahun. Saya sangat sedih kerana dia agak rapat dengan saya. Ia menjadikan saya mempersoalkan kenapa virus itu menjadikan orang terseksa, saya tidak boleh terima,” katanya.

Maka bekas pereka seni bina itu menyediakan tempat selamat untuk wanita HIV untuk memberikan mereka tempat tidur dan tempat mandi yang elok, selain khidmat nasihat bagaimana untuk menjaga diri mereka.

Pangsapuri tiga biliknya menjadi tempat itu, dan PKKUM kemudian dilancarkan pada 2013.

“Pada mulanya, orang yang saya kenal menjalankan sesi sokongan di rumah saya dari hari ke hari, dan komuniti itu berkembang. Ia langkah pertama sebelum ada tempat berlindung,” katanya.

Wanita berusia 37 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu berkata dengan bantuan derma, mereka mendapat tempat lebih besar di Chow Kit, dan akhirnya menjadi pusat kebajikan dengan kelengkapan lebih baik.

Daripada permulaan yang serba kekurangan, pusat itu kini mempunyai 10 katil dan menyediakan sarapan, makan tengah hari dan minum petang. PKKUM juga mengagihkan kira-kira 2,000 kondom setiap minggu kepada mereka berisiko menerusi program outreach di tempat seperti Jalan Petaling, Jalan Chow Kit atau Jalan Ipoh.

Organisasi Peer Support & Empower the Community ialah program yang dibiayai Kementerian Kesihatan, di mana pekerja outreach akan berpangkalan di hospital swasta dan beberapa klinik bagi menyediakan sokongan kepada individu positif HIV.

Selain geran Kementerian Kesihatan, PKKUM juga menerima bantuan dan sokongan daripada syarikat Malaysia Karex, pembuat kondom terbesar di dunia, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program itu juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu.

“Tujuan utama kami ialah membantu mereka hidup dengan HIV tetapi ramai antara yang singgah di pusat kami, mereka gelandangan dan tidak bekerja. Mereka sebahagian daripada kumpulan berisiko tinggi,” kata Elisha.

Menurut statistik Majlis AIDS Malaysia, kematian berkaitan HIV/AIDS di Malaysia dari 1986 hingga 2010 berjumlah kira-kira 12,943 orang.

Selepas terbabit dalam kerja sosial lebih 10 tahun, Elisha berkata beliau percaya pendidikan seks dari rumah ialah kunci mengelak transmisi HIV menerusi tingkah laku seksual.

“Pelanggan termuda yang kami pernah ada ialah 14 tahun. Kebanyakan ibu bapa tidak pernah bercakap mengenai seks dengan anak mereka. Bagi saya pendidikan sangat penting dan langkah pertama bukan dari sekolah, ia perlu dari rumah,” katanya.

Pusat kebajikan itu, yang dibuka semula pada 23 Mei selepas premis lama musnah dalam kebakaran, berkhidmat untuk kira-kira 700 pelanggan tahun lalu. Pusat itu juga membantu masyarakat terpinggir seperti transgender, dengan menggaji mereka bekerja di pusat.

Elisha berkata wawasannya untuk pusat itu ialah menyediakan sokongan kepada mereka yang menghidap HIV, menjadi tempat selamat kepada mereka yang terpinggir, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya menjadi lebih penyayang terhadap pesakit HIV.

Dalam kata lain, beliau berharap pusat itu menjadi simbol kehidupan, terutama kepada mereka yang kehilangan harapan.

“Saya lihat ramai orang meninggal dunia mati kerana AIDS,” kata Elisah, teringat kembali memori pahit melihat kematian kawannya, Nora.

“Sebab itu kita perlu pusat kebajikan seperti ini di mana orang boleh menyentuh anda dengan cara positif.” – 27 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen