BEKAS pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebahagian daripada keterangannya dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 mengenai 1MDB tidak dimasukkan.
Beliau memberitahu banyak perkara yang dinyatakannya semasa prosiding PAC tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa tersebut.
“Saya nyatakan empat perkara yang tidak disebut dalam laporan akhir PAC itu.
“Cara keterangan saya ditulis dalam laporan PAC (menunjukkan) saya tidak silap. Ia tidak bermakna apa yang anda baca dalam laporan PAC mewakili apa yang saya kata,” katanya semasa pemeriksaan balas hari ini.
Bakke, 68, merujuk kepada empat syarat yang ditetapkan oleh lembaga 1MDB untuk usaha sama dengan PetroSaudi diteruskan.
Bakke saksi ke-15 dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak kerana menyeleweng RM2.28 bilion dana 1MDB.
Najib menghadapi 25 pertuduhan - empat kes salah guna kuasa dan 21 kes cuci duit - untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Bakke kemudian bertengkar mengenai laporan PAC
Shafee bertanya sama ada saksi berpgegang dengan keterangannya semasa siasatan PAC.
“Anda beritahu (dalam keterangan anda) apabila dilihat kembali, anda hilang sabar dan berasa bengang terhadap pengurusan kerana tidak mematuhi arahan lembaga pengarah.
“Anda juga kata, anda tak sepatutnya meletak jawatan.”
Bakke kemudiannya berkata: “Ingatan saya masih sempurna. Saya tak tahu dari mana anda dapat (kata-kata) ini. Saya kata, ‘jika dilihat kembali, saya tak sepatutnya berkhidmat dengan 1MDB’.”
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian memberitahu Bakke, sebagai saksi, beliau perlu menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.
Bakke kemudian berkata beliau pengang dengan keterangannya, menambah kenyataan penuh untuk prosiding itu tiada dalam laporan tersebut.
Laporan PAC mengenai 1MDB dikeluarkan pada April 2016.
Menurut PAC, sesi itu dijalankan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi.
Ini diikuti dengan wawancara dengan Bakke dan bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Bagaimanapun, laporan itu tidak membabitkan Najib Razak dalam skandal dana kekayaan negara.
PAC telah mengenal pasti kegagalan pengurusan 1MDB untuk melabur tanpa sebarang usaha wajar dijalankan, iaitu mengepam AS$1 bilion dalam usaha sama dengan PetroSaudi International Limited (PSI). – 16 Mei, 2022.
Komen