DR Mahathir Mohamad mahu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf kerana mempertikaikan statusnya sebagai Melayu.
Bekas perdana menteri merujuk ucapan Ahmad Zahid pada Julai 2017 yang mengungkit sejarah keturunan Dr Mahathir dari India.
Dalam ucapannya Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun jadi perdana menteri antara 1981 dan 2013.
“Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya.
“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam ucapannya pada mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya, Ahmad Zahid ketika itu menteri dalam negeri malah mendakwa beliau ada salinan kad pengenalan Dr Mahathir yang memaparkan namanya menggunakan “anak lelaki” dan bukan “bin”.
Beliau mendakwa salinan kad pengenalan itu dihantar ke telefon genggamnya oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.
Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan Ahmad Zahid menipu, malah seorang “pembohong tegar”.
“Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, Ahmad Zahid membuat dakwaan itu terhadapnya hanya untuk mempertikaikan kelayakannya memimpin Umno, parti Melayu lain dan orang Melayu keseluruhannya.
Dr Mahathir yang mengasaskan Bersatu dan kini pengerusi Pejuang mengakui memang darah keturunannya India dan hakikat itu sudah beliau tulis dalam bukunya.
“Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.
“Mengikut takrifan perlembagaan Malaysia saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya,” katanya.
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan orang Melayu sebagai “menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu” dan antara lain, ibu bapanya lahir di negara ini sebelum Merdeka.
“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” tambah Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri berkata beliau sebenarnya tidak suka mengheret mereka yang memfitnahnya ke mahkamah kerana memang selalu ada yang melampau batas dalam kempen politik.
Namun kali ini beliau merasakan perlu menggunakan mahkamah.
“Sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.
“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini menyaman Dr Mahathir kerana mendakwa beliau meminta campur tangan menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.
Dr Mahathir mempertahankan bahawa Ahmad Zahid membuat permintaan itu kepadanya semasa beliau perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Ahmad Zahid didakwa di mahkamah atas 87 tuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan cuci duit haram. – 16 Mei, 2022.
Komen