JAWATANKUASA Pemilihan PKR (JPP) berhak membatalkan dan mengadakan pemilihan semula sekiranya mengesan berlakunya kelemahan sistem dalam pemilihan parti itu, kata ketuanya Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, tindakan itu juga boleh diambil sekiranya berlaku perkara tidak diingini di tempat pengundian sewaktu pemilihan berjalan.
“JPP boleh mengambil langkah untuk membatalkan mana-mana keputusan mana-mana pengundian dan melakukan semula pengundian bagi mana-mana cabang atau sektor sama ada AMK atau Wanita jika kita dapati ianya disebabkan kelemahan sistem aplikasi Adil atau sekiranya berlaku masalah di tempat-tempat pengundian.
“Jika keperluan tersebut berlaku maka parti, pimpinan dan akar umbi harus menerima baik sebarang kemungkinan atas keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022, demi kebaikan dan ketelusan perjalanan Pemilihan 2022,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau bagaimanapun berkata, sistem pemilihan yang menggunakan aplikasi Adil telah diberikan ciri-ciri keselamatan selain sistem dan proses pengundian yang dikawal rapi.
“Ditambah lagi dengan pengenalan penggunaan dakwat calit undi memastikan pemilihan parti berjalan dengan telus, saksama, dan selamat,” kata Zaliha.
Selain itu, Zaliha turut menjelaskan JPP adalah badan bebas, neutral dan tidak berpihak yang menjalankan tugas dengan adil, telus, dan bertanggungjawab.
Antara langkah keselamatan yang dilaksanakan JPP katanya adalah meletakkan pengawas pemilihan bukan dari kalangan anggota parti.
Selain itu, JPP juga meletakkan pengawas yang bertugas mempunyai akses kepada kod kata laluan yang berbeza-beza, bagi membuka kertas undi digital di peranti pengundian yang disediakan.
“JPP hanya membenarkan pengawas sahaja untuk memasukkan nombor kad pengenalan yang dikemukakan anggota, setelah disahkan nombor kad pengenalan yang betul dimasukkan, barulah anggota tersebut boleh mendapatkan kertas undi digital yang bertepatan dengan keanggotaan masing-masing,” kata Zaliha lagi.
Kenyataan itu dikeluarkannya susulan dakwaan calon timbalan presiden Rafizi Ramli yang meminta JPP menyelesaikan isu dan masalah membabitkan sistem pengundian parti tersebut.
Rafizi mendakwa kelemahan dalam sistem pengundian itu membuka kepada risiko penipuan memandangkan seorang pengundi boleh membawa satu senarai anggota dengan nombor kad pengenalan dan mengundi berkali-kali bagi pihak pengundi lain.
Dalam penjelasannya, Zaliha memaklumkan JPP mengambil keputusan untuk tidak menggunakan kod QR bagi menghapuskan risiko penipuan apabila ia boleh dicetak berkali-kali.
Selain itu, penggunaan dakwat calit turut menghalang perkara itu daripada berlaku.
“Ia juga sekali gus menutup ruang untuk mana-mana anggota melakukan pengundian berganda secara berulang kali,” jelas Zaliha. – 17 Mei, 2022.
Komen