Di mana karya ulung pelukis Malaysia?


Faisal Tehrani

BARU-BARU ini saya membawa beberapa orang pelajar Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, ke Balai Seni Negara.

Satu soalan daripada seorang pelajar membuatkan saya gamam.

Pelajar itu bertanyakan kepada saya, apakah catan atau lukisan hebat daripada negara ini yang mungkin setanding 

Monalisa di Muzium Louvre, atau persis karya Rembrandt yang dipamer di Rijksmuseum? 

Semacam lukisan atau catan yang mengujakan pengunjung untuk datang melihatnya. Katakan seperti catan Katsushika Hokusai yang digantung  di Art Institute of Chicago. 

Adakah lukisan atau catan seniman Malaysia yang dapat kita peragakan kepada orang luar? Atau sebetulnya untuk diri kita sendiri?

Jika ada di manakah ia boleh dilihat? Adakah Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara yang sedia ada di Balai Seni Negara ini sudah digembar-gemburkan sehingga cukup dikenali di bibir dan lidah masyarakat? 

Tentu, untuk orang di luar seni catan, persoalan itu membuatkan siapa pun akan gamam. Misalnya, adakah orang kita kenal karya Abdullah Ariff dan Yong Mun Seng. Mereka berdua ini aktif di Pulau Pinang, dan catan mereka banyak memperlihatkan pemandangan alam semulajadi. 

Catan Mun Seng, ‘Pemandangan dari Bukit Bendera’ sebagai misalan patut disebarluaskan sehingga meniti di bibir, yang mana jika kita dihadapkan pertanyaan orang luar, paling tidak kita dapat menyebut-nyebutkannya. Kerja-kerja Mun Seng dikatakan bagus tetapi di manakah lukisan ini?

Mun Seng menggunakan cat air dan cat minyak, dan mendiang antara pengasas Kesatuan Seni Lukis Selangor yang banyak mempengaruhi pelukis muda berbangsa Cina pada tahun-tahun 1950an.

Demikian pula catan Abdullah, bernama ‘Ombak’ yang menurut A.P.M Piyadasa sebagai “menarik perhatian kerana kesegaran dan spontan maya”. Ia juga sebuah catan yang penuh getar. Selain itu ada catan ‘Potret Frank Sullivan’ oleh Hoessein Enas pada 1948 dan juga lukisan berjudul ‘Pengantin Iban’ yang dihasilkan pada 1963 dengan cat minyak; dan ‘Gadis Melayu’ yang dikerjakan pada tahun 1959 yang merupakan hasil cat minyak di atas kanvas. 

Piyadasa, sarjana seni catan, pada tahun 1971, menyatakan lukisan ‘Gadis Melayu’ ini sebagai “permulaan tradisi seni berupa yang akhirnya mendapat tempat istimewa dalam tahun lima puluhan”. 

Hoessein dari kelompok pelukis Angkatan Pelukis Semenanjung tahun 1956 ini dirujuk oleh Piyadasa dalam kertas Kongres Kebudayaan Malaysia pada 1971 sebagai ” memberatkan kepada ilustrasi secara akademisma Eropah”, iaitu dengan cubaan “menggambarkan keadaan kemasyarakatan dan membayangkan kesan-kesan sentimen yang berlaku tiap-tiap hari di Malaysia”, demikianlah apa yang mereka hasilkan.” 

‘Gadis Melayu’ kedengaran hebat tetapi di manakah lukisan ini? Lukisan ini khabarnya dicuri dari Balai Seni Lukis Negara pada 1994 dan sampai sekarang entah di mana.

Ada sebuah catan Hoessein pada tahun 1959 juga menarik dengan tajuk ‘Kena Mara – Kantoi’. Catan itu menunjukkan seorang gadis sunti semacam merajuk saat sedang dimarahi oleh bapanya, terdapat halaman buku yang terbuka.

Piyadasa memanggilnya “setanding dengan catan terkenal di Eropah, dan terlihat sungguh Malaysia.” Saya hanya dapat melihatnya di atas talian, ia nampak hebat tetapi di manakah lukisan ini?

Tahukah kita akan catan ‘Mandi Safar’ oleh Zakaria Nor, sebuah lagi hasil gejala gerakan impresionisme di negara ini. 

Belum lagi kita menjejerkan nama lukisan gaya Nanyang seperti karya Cheong Soo Pieng. ‘Gaya Nanyang’ merujuk sempena Nanyang Academy di Singapura (yakni sebelum Malaysia dan Singapura berpisah). Catan-catan Soo Pieng yang terkenal antara lain ialah ‘Berehat’ dan ‘Perempuan Yang Sedang Duduk’. 

Pengkritik memuji Soo Pieng kerana cekatan menggunakan kertas jerami Cina asli dalam kerja-kerjanya yang disebut di atas, menjadi satu teknik dan gaya yang masyhur dengan pelukis-pelukis Cina di negeri ini.

Gaya Soo Pieng melukis pemandangan kampung dengan meninggalkan ruang yang panjang dan datar yang ditirunya dari bentuk dan susunan lukisan Cina akhirnya diikut juga oleh pelukis-pelukis lain. Sekali lagi, di manakah lukisan-lukian Soo Pieng untuk kita hayati?

Kemudian, tahukah kita akan catan-catan Nik Zainal Abidin, yang siri catan Wayang Kulit dari tahun-tahun 1950an dan 1960an telah memetik memindahkan episod hikayat atau epik Ramayana?  Catan beliau yang terkenal adalah ‘Wayang Kulit Kelantan’ yang dibikin pada tahun 1959.

Catan dengan cat minyak atas kanvas itu memperlihatkan permainan warna, rakaman budaya setempat yang kaya, dekorasi dari masa lalu yang kreatif dan apa yang lebih melampaui duga ialah Nik Zainal bukanlah pelukis yang mendapat pendidikan formal dalam bidang ini.

Beliau ikut tumbuh dari Angkatan Pelukis Semenanjung. Saya berhasrat mengkaji dan membandingkan catan Nik Zainal dengan babak dari Ramayana tetapi di manakah siri lukisan ini?

Tidak terkecuali adalah Syed Ahmad Jamal, pelukis agung negara ini. Catan ‘Untittled’ karya Syed Ahmad Jamal pernah terjual  dengan harga RM140,000 pada satu lelongan awam pada tahun 2017.

Pada waktu itu, ia adalah bidaan tertinggi dalam lelongan karya seni anjuran Henry Butcher Art Auctioneers. Karya ini dilukis pada tahun 1958 ketika Syed Ahmad masih belajar di United Kingdom.

Ia dihasilkan pada tahun 1958 di Kirkby, England dan memaparkan gadis Melayu berbaju kebaya, berkain batik merenung ke luar jendela.  

Ada semacam misteri pada catan saiz 107 x 60 cm itu. Ketika karya ini dihasilkan, ia agak menggemparkan dunia seni kerana Syed Ahmad dikenal tidak pernah menghasilkan lukisan seorang wanita, dan lebih banyak menumpu lukisan abstrak dengan warna terang.

Syed Ahmad Jamal dianggap sebagai pencetus seni lukis abstrak dengan sentuhan nusantara bermula pada tahun-tahun 1960 an dan 1970 an. Karyanya seperti ‘Angin Musim Sejuk 1959’ dan ‘Umpan’ di tahun 1960 semuanya ditanggapi mendahului seluruh generasi abstrak impresionis.

Pun, agaknya adakah kita akan hanya mendengar-dengar saja, tetapi tidak dapat menatap beberapa lukisan yang disentuh ini?

Pelukis India yang dikenali pula adalah Grace Selvanayagam menerusi sebuah catan dengan tajuk ‘Matahari di Sri Mersing’ karya Grace Selvanayagam.

Beliau dikatakan yakin menggunakan warna ungu, hijau, oren, kuning dan merah yang disebut-sebut sebagai ciri pewarnaan tempatan; atau warna Malaysia di mana pelukis cuba menggumpal dan menujahkan satu gerakan bersama-sama dalam bidang seni lukis. 

Soalan yang harus dijeritkan lagi, di manakah letaknya karya ‘Matahari di Sri Mersing’ karya Grace Selvanayagam itu?

Seperti yang saya katakan lebih awal, lukisan dan kerja seni kita tidak dijenamakan dengan baik sehingga membekas dan menjadi satu memori bangsa.

Apabila kita ditanyai orang luar untuk menunjukkan satu atau lebih kerja seni yang dapat mewakili Malaysia, kita meraba-raba sampai mencari-cari.

Di manakah silap kita sebetulnya? Adakah kita terlalu tidak menghargai seni? Atau gerakan seni kita masih muda berbanding peradaban lain? Atau adakah galeri kita gagal memperagakan kerja pelukis kita?

Bagaimana pula dengan kerja seni di zaman NFT? Bagaimanakah kita bersikap terhadap kerja-kerja seni di era digital dan Bitcoin ini?

Soalan saya kepada pembaca, apakah saudara ikut gamam dan pegun bila ditanyai orang luar, apakah ada kerja kita setanding Monalisa di Muzium Louvre, atau persis karya Rembrandt yang dipamer di Rijksmuseum? Adakah kerja seni seperti catan Katsushika Hokusai yang digantung  di Art Institute of Chicago?

Lebih dahsyat, lukisan-lukisan ulung yang sebutkan di atas dalam rencana ini, di mana sebenarnya lokasi kerja seni itu? Di mana kita boleh melihatnya? – 17 Mei, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen