Pasukan karate menang pingat emas perlukan dana bayar hutang


Ravin Palanisamy

IOSSKAM perlukan sekitar RM23,000 untuk jelaskan baki hutang perjalanan dan penyertaan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa, di Lyon, Perancis, awal bulan ini. – Gambar Instagram, 17 Mei, 2022.

PASUKAN karate persendirian negara yang ditolak penaja tetapi berjaya memenangi enam pingat termasuk emas pertama Malaysia pada kejohanan di Perancis baru-baru ini, masih memerlukan dana untuk menjelaskan tunggakan mereka selepas menyertai pertandingan secara kredit.

Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM) memerlukan sekitar RM23,000 untuk menjelaskan baki hutang yang ditanggung bagi perjalanan dan penyertaan dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa, di Lyon, Perancis, awal bulan ini.

Pasukan itu menang satu pingat emas, tiga perak, dan dua gangsa, serta dua trofi.

Jurucakap IOSSKAM Thivashini Krish Dhev Nair memberitahu The Malaysian insight kos keseluruhan RM62,000 termasuk yuran kejohanan, tiket penerbangan, penginapan, makan dan pelbagai keperluan lain.

“Kami berjaya mengumpul kira-kira RM18,000 pada mulanya melalui sumbangan dan orang ramai setakat ini menyumbang kira-kira RM21,000.

“Sehingga 15 Mei, kami masih memerlukan kira-kira RM23,000 untuk menjelaskan semua bil dan pembayaran yang tertunggak,” kata Thivashini, yang merupakan ketua perhubungan awam persatuan itu.

Presiden MIC S.A Vigneswaran menderma RM10,000 daripada jumlah awal sebanyak RM18,000. Baki itu diberikan oleh orang ramai, termasuk penyanyi tempatan Arvind Raj.

IOSSKAM berkongsi kemas kini tentang pengumpulan dana mereka di halaman Instagram mereka.

Bertanding dengan 12 negara lain termasuk Jepun, India, Ukraine, Itali dan Romania, pasukan Malaysia, kesemuanya etnik India, diketuai oleh Nivashini Muniandy, 17 tahun yang memenangi satu-satunya emas negara setakat ini dalam Kata 15-17 Kategori Remaja Wanita.

Thivanishwary Muniandy, 18, memperoleh perak dalam kategori Remaja Wanita Kata 18-34 serta gangsa dalam Kategori Remaja Wanita Kumite 18-34.

Praveen Elancheran Dharmalingam, 16, menang pingat perak bagi Kategori Kumite 15-17 Remaja ​​Lelaki 70kg dan ke atas.

Dalam satu acara berpasukan, Paveedra Devi V Ganesh, Nivashini Sivaraman, Thavanishwary Muniandy memenangi perak dalam Kejohanan Terbuka Wanita Kumite Berpasukan.

Dalam satu lagi acara berpasukan, Shachiidanantha Guberan Pathmanathan, Mugeshvaran V. Ganesh, Praveen Elancheran Dharmalingam dan Prakash Muhammad Arjuna memenangi gangsa dalam kategori Terbuka Lelaki Kumite Bergilir Berpasukan.

Thivashini berkata disebabkan dana tidak mencukupi, mereka ke Paris secara kredit dengan bantuan agensi pelancongan tempatan, Holara Holiday Haven Sdn Bhd, yang membayar lebih awal untuk penerbangan mereka di bawah tawaran “terbang dahulu, bayar kemudian”.

Thivashini berkata terdapat penaja yang berjanji sebelum ini untuk membantu pasukan memasuki kejohanan, tetapi gagal menunaikannya apabila tiba masanya.  Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siapa mereka. – 17 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen