Korea Utara lapor 6 lagi kematian disyaki akibat Covid-19


Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un (tengah) mengkritik pihak berkuasa kesihatan kerana lambat mengagihkan ubat itu serta memastikan farmasi dibuka 24 jam setiap hari.– Gambar EPA, 17 Mei, 2022.

KOREA Utara melaporkan enam lagi kematian akibat “demam”, beberapa hari selepas negara itu mengumumkan kes pertama Covid-19, lapor media kerajaan KCNA.

Susulan itu pasukan tentera telah diarah mengagihkan segera bekalan perubatan ke semua farmasi di seluruh bandar Pyongyang.

Laporan turut menyebut, sebanyak 56 kematian direkodkan setakat pagi semalam, dengan lebih 1,483,060 kes bergejala demam dan sekurang-kurangnya 663,910 lagi menerima rawatan perubatan.

KCNA melaporkan beberapa langkah segera sedang diambil untuk memaklumkan orang ramai mengenai varian Omicron bagi membolehkan mereka memahami kaedah rawatan dan peraturan mencegah jangkitan.

Semalam, kira-kira 11,000 terdiri daripada pegawai kerajaan, guru dan pelajar perubatan menyertai operasi mengesan penduduk yang mengalami demam, katanya.

Angka kematian meningkat walaupun pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung jangkitan dalam kalangan penduduk yang tidak divaksin.

Kim juga dilapor mengkritik pihak berkuasa kesihatan kerana lambat mengagihkan ubat itu serta memastikan farmasi dibuka 24 jam setiap hari. – AFP, 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen