Sarawak Energy sukar kekang kes curi kabel elektrik, vandalisme


Desmond Davidson

Kabel bawah tanah tanah 33kV di daerah Lundu dirosakkan pada 22 April lalu, menyebabkan empat kampung mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam. – Gambar ihsan SEB, 17 Mei, 2022.

SARAWAK Energy Bhd (SEB) masih sukar mengekang kes kecurian peralatan dan vandalisme yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik walaupun syarikat tenaga yang beribu pejabat di Kuching itu telah meningkatkan rondaan malam dan memasang sistem remote sensing atau penderiaan jauh bagi mengesan penceroboh.

 Menurut statistik yang diberikan syarikat itu kepada The Malaysian Insight, sebanyak 176 kes kecurian kabel dan vandalisme direkodkan di seluruh Sarawak sepanjang 16 bulan lalu.

Statistik SEB juga menunjukkan hanya sembilan orang berjaya ditangkap kerana mencuri kabel, iaitu lima pada tahun lepas dan empat lagi tahun ini.

SEB berkata sepanjang 16 bulan lalu juga syarikatnya menanggung kerugian lebih RM1.3 juta. Jumlah itu termasuk kos membaik pulih dan penggantian peralatan.

“Kes kecurian dan vandalisme menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menyusahkan pengguna,” katanya, memetik kejadian kabel bawah tanah tanah 33kV di daerah Lundu dirosakkan pada 22 April lalu.

Kejadian itu menyebabkan empat kampung – Kg Sampadi, Kg Stoh, Kg Rambungan and Kg Sungai Cina – serta kawasan sekitar mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam.

Menurut SEB selain membuat laporan polis, syarikat itu juga telah meningkatkan rondaan di setiap kemudahan elektrik yang menjadi sasaran pencuri.

Syarikat itu juga berkata pada 11 April lalu seorang lelaki maut dipercayai akibat renjatan elektrik pada pelantar transformer elektrik di Jalan Serian-Sri Aman, ketika cuba mencuri kabel untuk mendapatkan kepingan tembaga.

“Pelaku sanggup menggadaikan nyawa untuk mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga untuk ditukar menjadi duit,” kata SEB.

Katanya lagi, berdasarkan statistik sebanyak 53% kes curi kabel dan vandalisme sepanjang 16 bulan lepas berlaku di  daerah Kuching. Statistik juga menunjukkan 65% kes berlaku di kawasan bandar.

Selain meningkatkan rondaan malam dan memasang sistem penderiaan jauh, SEB juga menyebarkan kesedaran melalui pelbagai media dan bekerjasama rapat dengan masyarakat di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai vandalisme dan akibatnya.

“Kami juga menjalankan operasi bersama polis untuk memeriksa pusat kitar semula untuk perdagangan kabel tembaga yang dicuri di kalangan peniaga terpakai,” kata SEB. – 17 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen