Kenaikan harga barang jejas perniagaan roti paung di Terengganu


Diyana Ibrahim

Harga tepung, telur dan margerin yang meningkat menyebabkan peniaga roti paung di Terengganu tersepit sama ada untuk terus mengekalkan harga jualannya atau menanggung untung yang berkurangan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2022.

PERNIAGAAN roti paung di Terengganu yang sebelum ini terjejas akibat penularan Covid-19 kini terbeban pula dengan kenaikan kos bahan mentah, kata pengusahanya.

Harga tepung, telur dan margerin yang meningkat menyebabkan peniaga tersepit sama ada untuk terus mengekalkan harga jualannya atau menanggung untung yang berkurangan.

Pemilik kedai roti paung terkenal di Manir, Kuala Terengganu, Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid bimbang jualannya yang berkurangan sejak pandemik akan terus merosot kalau pihaknya menaikkan harga jualan kepada pengguna.

Katanya, sekarang beliau boleh menjual hanya 500 bungkus roti sehari berbanding kira-kira 600 bungkus sebelum ini.

“Memang jualan semakin hari semakin kurang. Dulu sebelum PKP kita kata boleh jual dalam 600 bungkus roti paung sehari tapi hari ini perbezaan jualan kita jatuh sebanyak 100 bungkus roti,” katanya, yang mengusahakan Roti Paung Che Wan sejak 2007.

Wan Mohd Ridhwan percaya sambutan pengguna berkurangan kerana kuasa beli mereka yang terhad setelah berdepan dengan kenaikan harga barangan perlu sejak kebelakangan ini.

Beliau mengakui keuntungan perniagaannya berkurangan 25% berbanding 50% daripada jualan kasar.

“Sebelum PKP keuntungan kedai adalah dalam 50% namun selepas PKP dengan kenaikan harga barang hanya 25% untung saya sekarang,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan terpaksa menaikkan harga jualannya daripada RM4 sekarang jika keadaan berterusan.

“Sebagai contoh, kalau kita jual barang dengan RM4, harga untung kita RM2 tapi sekarang harga jual sama tapi untung kita hanya dapat RM1 sahaja disebabkan kenaikan kos barang,” katanya.

Roti paung, yang disebut dengan dialek Terengganu mendapat nama kerana beratnya kira-kira 1 paun, biasa dijadikan hidangan sarapan atau minum petang dan dicicah dengan teh atau kopi.

Roti paung biasa dijadikan hidangan sarapan atau minum petang dan dicicah dengan teh atau kopi. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2022.

Seorang lagi pengusaha roti paung Tarmizi Mat Jusoh, 37, juga mengaku terhimpit mahu menaikkan harga jualan kepada pengguna.

“Saya buntu kerana perniagaan sangat perlahan sekarang dengan harga barang naik, jadi saya tak tahu perlu naikkan harga roti atau tidak.

“Kalau saya tak naikkan harga, kenaikan barang itu sangat tinggi. Contoh harga margerin, saya beli RM100 sekotak, dulu baru RM77. Itu pun saya dah cari harga paling rendah… belum lagi tambah kos lain,” katanya yang berniaga sejak 2002.

Tetapi kalau beliau naikkan harga jualan roti, pelanggan akan lari, tambahnya.

“Sekarang ini sambutan perniagaan pun kurang sangat. Kalau dahulu saya dapat jual dalam 300 roti bungkus dalam tempoh raya ketiga dan keempat tapi sekarang hanya dapat jual 150 bungkus roti sahaja.

“Hari biasa pula saya bakar dalam 80 roti paung tapi itulah ada hari tak habis pun roti,” katanya.

Peniaga yang sebelum ini menjual roti paung RM3.50, yang paling rendah berbanding peniaga lain, seperti Nor Hashima Mamat, 49, di Marang pun kini menaikkan harga jualannya.

“Lepas PKP saya terpaksa naikkan RM4 sebab kos barang meningkat. Tapi sekarang harga barang makin naik juga boleh kata setiap minggu harga akan bertukar. Sebagai peniaga memang kita runsinglah dengan keadaan begini,” katanya.

Sama seperti yang lain, Nor Hashima juga mengakui dalam keadaan serba salah untuk menaikkan harga rotinya kerana bimbang akan memberi kesan kepada jualan.

Pada masa sama, beliau cuba juga untuk menggandakan jualan rotinya terutama ketika hari cuti minggu dan cuti umum.

“Saya terpaksalah buat begitu. Kalau tidak mana nak dapat untung. Jika hari biasa jualan tidak akan banyak sangat.

“Tapi kalau untuk hari minggu dan cuti umum memang saya cakap dengan pekerja saya kita buat banyak roti. 

“Sebab kebanyakan pembeli roti kedai saya ini orang luar, pelancong, dan kedai pula tepi jalan… waktu cuti itu mereka akan singgah untuk beli,” katanya. – 17 Mei, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen