Najib cakap macam tak siuman, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Najib Razak menjelaskan amalan duit adalah segala-galanya atau "cash is king" bermaksud rakyat itu king semasa berdebat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

NAJIB Razak bercakap macam orang tidak siuman apabila berkata “rakyat itu king (raja)”, kata Dr Mahathir Mohamad dipetik saluran berita Astro Awani.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Najib menjelaskan amalan duit adalah segala-galanya atau ” cash is king” semasa berdebat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim minggu lalu.

Katanya, Najib berbohong dan beliau sudah banyak kali berbohong termasuk kepada Dewan Rakyat.

“Saya hairan kenapa Najib diberi tempat untuk dia bercakap bohong, macam tak siuman… kononnya cash is king, king itu rakyat.

“Jadi sekarang bila kita jumpa rakyat, kita (kena panggil) Duli Yang Maha Mulia rakyat. Bukan macam itu… itu cakap bohong,” katanya seperti dipetik portal berita itu, di Langkawi.

“Dulu dia kata nak malu buat apa pasal dia boss, boss curi tidak apa, jadi ada dalam Parlimen dia kata kita tak bayar satu sen pun hutang (1MDB).

“Mana tak bayar, kita bayar berbilion ringgit… dia kata tak bayar, dia cakap tak betul,” tambahnya.

Kenyataan Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad itu juga disanggah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz melalui kenyataan media, dan Najib kemudian diarah oleh Speaker Dewan Rakyat untuk membuat penjelasan.

Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Pantai Chenang.

Semasa debat dengan Anwar, Najib menjelaskan mempertahankan dasar pentadbirannya memberi bantuan tunai kepada rakyat.

Dasar itu dikritik oleh Dr Mahathir dan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga muncul istilah “cash is king”.

Dr Mahathir juga lantang mengkritik sikap mengutamakan kepentingan wang ringgit dan kedudukan, yang juga diistilahkan “cash is king”, yang katanya berleluasa dalam politik dan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengkritik  sikap Najib terhadap kesaksamaan apabila menyebut analogi “agihan kek ekonomi” semasa debat yang sama.

Semasa debat itu, Najib berkata kerajaan harus membesar kek ekonomi sebelum diagih kepada rakyat.

Menurut Dr Mahathir, analogi itu tidak menggambarkan keperibadian sebenar Najib.

“Dia buat macam itukah semasa dia jadi perdana menteri?,” tanya Dr Mahathir, merujuk layanan saksama Najib kepada semua orang semasa jadi perdana menteri.

“Saya ditutup sama sekali untuk bercakap, bukan pembahagian sama rata. Masa dia (Najib) jadi perdana menteri tak ada sama rata, sekarang bila tak jadi perdana menteri mesti sama rata?” tambahnya. – 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen